26 BAHAGIAN BAHARU KUKUHKAN GAGASAN RAKYAT

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 17 MEI – Parti Parti Gagasan Rakyat Sabah mengambil keputusan merombak struktur parti dengan menjadikan kawasan Parlimen sebagai bahagian baharu berbanding mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini.

Presidennya, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, perubahan menerusi pindaan perlembagaan parti itu akan menyaksikan parti berkenaan mempunyai 26 bahagian baharu termasuk Labuan berbanding 74 bahagian sebelum ini.

Menurut beliau, penstrukturan semula itu penting bagi memperkukuh organisasi parti di semua kawasan selain memastikan bahagian kecil dapat disatukan menjadi lebih besar, tersusun dan kuat.

“Kalau kita mahu parti ini terus memimpin, kita tidak boleh sekadar kelihatan besar pada nama atau jumlah bahagian yang banyak semata-mata.

“Kita perlu memastikan parti bergerak sebagai satu pasukan, tersusun rapi dan mempunyai arah perjuangan yang jelas,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Agung Khas parti itu di Sabah International Convention Centre, hari ini.

Beliau berkata, selama ini terdapat bahagian yang aktif dan mempunyai kekuatan jentera yang BAIK namun ada juga bahagian yang kecil dengan jumlah keahlian yang terhad sehingga menyebabkan sumber parti terpecah dan tidak seimbang.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas Majlis Tertinggi parti menilai secara teliti realiti politik semasa, kekuatan organisasi serta kesiapsiagaan jentera parti sebagai peneraju kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Hajiji menegaskan perubahan struktur berkenaan bukan bertujuan menafikan jasa atau pengorbanan ahli parti, sebaliknya untuk memperkukuh perjuangan parti pada masa hadapan.

“Yang berubah hanyalah struktur parti bukan nilai perjuangan, bukan kepercayaan kepada ahli-ahlinya.

“Jasa dan pengorbanan ahli tidak pernah terpadam hanya kerana struktur parti diperbaharui,” katanya lagi.

Beliau turut menghargai peranan akar umbi yang selama ini menjadi tulang belakang kekuatan parti dengan bergerak dari kampung ke kampung demi memastikan perjuangan parti terus diterima rakyat.

Share This Article