WANITA GRS KUKUHKAN KESIAPSIAGAAN

sabahheadlines
2 Min Read

sh@ Syarmilah Salleh

LAHAD DATU: 24 Jun – Program Jalinan Kasih anjuran Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus memperkukuh perpaduan dan kesiapsiagaan jentera parti di peringkat akar umbi, khususnya dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam dan Segama.

Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Don berkata, program yang telah digerakkan sejak tahun lalu itu telah menjelajah ke hampir seluruh kawasan DUN di Sabah bagi memperkasakan jentera wanita pelbagai parti komponen.

“Malam ini kita berada di Lahad Datu, bersama jentera wanita dari DUN Silam dan Segama. Saya bersyukur kerana semua parti komponen GRS hadir. Ini menunjukkan semangat perpaduan yang kukuh di kalangan parti dalam gabungan kita,” katanya ketika ditemui media selepas program berkenaan.

Beliau berkata, GRS mempunyai lapan parti komponen, namun kehadiran di setiap kawasan berbeza bergantung pada struktur tempatan.

“Ada kawasan yang diwakili empat parti, ada juga tiga. Tetapi yang penting, malam ini semua yang relevan hadir dan memberi sokongan padu,” tambahnya.

Diminta mengulas mengenai persiapan jentera wanita, beliau memaklumkan gerak kerja telah dimulakan sejak dua tahun lalu menerusi siri jelajah di peringkat negeri, yang kemudiannya diperluas ke setiap DUN dan Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Setiap kawasan kini sudah ada jentera yang aktif bergerak. Daripada laporan yang saya terima, semua sudah bersedia. Kita ada lebih 18,000 jentera yang dikenal pasti, dan jumlah itu terus ditambah mengikut keperluan semasa,” jelasnya.

Menurut Azizah, penambahan jentera di peringkat PDM adalah penting bagi memastikan gerakan wanita GRS kekal mantap dan responsif dalam menghadapi sebarang cabaran mendatang.

Program Jalinan Kasih akan diteruskan ke kawasan-kawasan lain sebagai sebahagian daripada strategi pengukuhan jentera wanita di seluruh Sabah.

Turut hadir Ketua Wanita GRS Zon 6b Datuk Mizma Appehdullah berserta wakil-wakil parti komponen Wanita GRS iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) dari cawangan Tungku, Sinallang, Bugaya, serta Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).

TAMAT

Share This Article