BOT KARGO SOROK 4 TAN BERAS, 700 LITER PETROL DITAHAN

sabahheadlines
1 Min Read

TAWAU, 12 Ogos – Cubaan sebuah bot kargo menyorok barang kawalan dibawah timbunan botol kosong ternyata gagal.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Tawau mengesan cubaan itu ketika membuat pemeriksaan ke atas bot kargo tersebut kira-kira 2.15 batu nautika selatan Batu 3 Tawau pagi tadi.

Barang kawalan itu termasuklah 400 kampit beras yang dianggarkan seberat empat tan dan 27 gelen petrol (700 liter).

Anggaran rampasan itu bernilai RM55,000.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot peronda yang menjalankan Ops Pluto Timur, Ops Sejahtera dan Ops Tiris mengesan bot tersebut bergerak dari perairan Batu 3 menuju Pulau Sebatik.

Bot dikendalikan seorang juragan lelaki tempatan berusia 60 tahun bersama pembantu warga Indonesia berumur 58 tahun, masing-masing gagal mengemukakan permit berkaitan muatan.

Pemeriksaan menemukan 400 kampit beras dianggarkan seberat empat tan dan 27 gelen petrol (700 liter). Nilai rampasan termasuk bot dan enjin dianggarkan RM55,000.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994. Maritim Malaysia tidak menolak kemungkinan barangan itu cuba diseludup ke negara jiran.

Orang awam diminta menyalurkan maklumat jenayah maritim di talian 089-752116 atau 999.

TAMAT

Share This Article