KOTA BELUD, 24 Disember – Dua blok rumah pekerja membabitkan 43 pintu musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran di Kampung Rampayan Ulu di sini petang tadi.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 2.17 petang sebelum mengerahkan pasukan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 12.6 kilometer dari kebakaran terdahulu di Kampung Dudar Laut.
Menurut Komander Operasi, PBK I Hasmaddy Agum, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 2.36 petang dan mendapati kebakaran melibatkan dua blok rumah pekerja jenis tidak kekal masing-masing berkeluasan kira-kira 10 x 10 kaki bagi setiap pintu, dengan anggaran keluasan keseluruhan 400 x 20 kaki.
“Kedua-dua blok rumah pekerja berkenaan merupakan milik Syarikat YTO Group Sdn Bhd, terbakar 100 peratus,” katanya.
Beliau berkata, kebakaran turut menyebabkan tiga buah kenderaan iaitu Proton Wira, Proton Persona dan Perodua Bezza mengalami kesan bahangan dengan anggaran kerosakan sekitar 11 peratus.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan empat pancutan menggunakan sumber air daripada jentera bomba.
“Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada jam 3.48 petang dan seterusnya menamatkan operasi pada jam 6 petang selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi,” katanya.
Tambah beliau pihak bomba turut berjaya menyelamatkan dua lagi blok rumah pekerja membabitkan empat pintu daripada turut terbakar.
Seramai tujuh anggota BBP Kota Belud terbabit dalam operasi berkenaan dengan bantuan empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tiada mangsa dilaporkan cedera atau terkorban dalam kejadian itu.
TAMAT
