CALON GRS BAKAL JADI TUMPUAN

sabahheadlines
4 Min Read

Catatan Editor

Siapa calon yang akan bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah bakal diketahui esok (12 November).

Seperti mana yang telah dimaklumkan, GRS pada PRU kali ini telah memutuskan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan dua parti dalam PH iaitu DAP dan PKR masing-masing telah mengumumkan calon dan DUN yang akan dipertandingkan.

Seperti yang dijangkakan PKR turut menyenaraikan Datuk Jamawi Jaafar dan Datuk George Hiew sebagai calon untuk PRU kali ini.

Jamawi merupakan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Melalap manakala George Hiew pula Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Karamunting.

Apa yang menarik PKR menyenaraikan Jamawi untuk DUN Melalap dan George Hiew pula untuk DUN Karamunting.

Tetapi yang menjadi tumpuan adalah berapa kerusi DUN termasuklah Sindumin, Petagas, Tulip dan Pintasan.

Kecuali Pintasan kerusi DUN yang lain sudahpun berada dalam senarai kerusi PKR yang telah diumumkan oleh presiden parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim Ahad lalu.

Kerusi DUN Sindumin sebelum ini disandang oleh Datuk Dr Yusuf Yaakub yang merupakan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sindumin.

PKR mengumumkan Datuk Yamani Hafez Musa sebagai calonnya bagi bertanding di kerusi Sindumin.

Kerjasama GRS dengan PH, memungkinkan PKR menyenaraikan Hafez namun keputissn itu menimbulkan persoalan apakah GRS akan menyenaraikan Dr Yusof bagi mempertahankan kerusi Sindumin?

Seperti cerita yang sama tetapi berbeza bahagian, turut kelihatan bagi DUN Petagas. Kerusi DUN ini turut berada dalam senarai kerusi DUN PKR dan Awang Husaini Sahari diumumkan sebagai calon parti itu.

Datuk Awang Ahmadshah Sahari yang merupakan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tanjung Aru merupakan penyandang kerusi tersebut.

Maka timbul persoalan apakah Awang Ahmadshah akan disenaraikan oleh GRS untuk kerusi tersebut?

Adalah tidak memungkinkan Awang Ahmadshah dialihkan ke kerusi Tanjung Aru kerana kerusi DUN itu sendiri sidah berada dalam senarai DAP, salah satu parti dalam PH.

Cerita yang sama turut berlaku bagi DUN Tulip apabila DUN ini turut berada dalam senarai calon PKR.

Datin Rufinah Pengeran dinamakan sebagai calun DUN itu oleh PKR tetapi penyandangnya Datuk Flovia Ng adalah antara pemimpin yang tidak mengikuti keputusan Parti Solidariti Tanah Air ( STAR) yang bertindak keluar daripada GRS.

Seperti Dr Yusof dan Awang Ahmadshah, kedudukkan Flovia juga hanya diketahui pada 12 November nanti.

Bagi DUN Pintasan, ianya tetap menjadi milik GRS untuk mengemukakan calon kerana PKR mahupun parti dalam gabungannya tidak menyenaraikan calon. Apa yang menjadi persoalan ialah siapa yang akan bertanding?

DUN Pintasan disandang oleh Datuk Fairuz Rendan yang bukan sahaja selaku ketua bahagian Gagasan Rakyat DUN itu tetapi merupakan Ketua Pemuda Gagasan Rakyat.

Namun DUN itu dikatakan turut dituntut oleh presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang pernah ditewaskan oleh Fairuz pada pilihan raya sebelumnya.

Dalam pada itu, dua nama iaitu Datuk Shahelmy Yahya dan Datuk Andy Mohamad Surady Bandy turut menjadi tumpuan.

Kedua-duanya tidak disenaraikan oleh Barisan Nasional (BN) untuk PRU Sabah kali ini.

Namun timbul tanda tanya kemungkinan Shahelmy dan Andy akan dicalonkan oleh GRS pada PRU kali ini.

Jika disenaraikan Shahelmy akan mempertahankan DUN Tanjung Keramat manakala Andy pula bakal mempertahankan DUN Tanjung Batu.

Bagaimanapun timbul pula persoalan, yang boleh mewujudkan kemungkinan tidak dapat dicalonkan kerana ‘hukuman’ yang ditetapkan oleh BN.

Jika kedua-duanya bertanding maka kedua-duanya berhadapan dengan ‘hukuman’ perlu melepaskan keanggotaan sebagai ahli parlimen selain berhadapan tindakan saman.

Shahelmy merupakan Ahli Parlimen Putatan manakala Andy pula Ahli Parlimen Kalabakan.

Apapun keputusan yang dibuat dan diumumkan pada 12 November ini, pasti kepimpinan GRS telah mengambil langkah yang bijak umpama menarik rambut dalam tepung, yang pasti rambut ditarik tidak menyebabkan tepung berselerak.

Hakikatnya segalanya terjawab esok (12 November).

Tamat

Share This Article