Ahmad Maslan meninjau lokasi jeti yang dalam pembinaan
sh@ Aleeya Bathriesyiah
SANDAKAN: 4 Ogos – Dua projek berbeza, satu di laut dan satu lagi di darat, namun persamaan projek ini mengecewakan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Haji Ahmad Haji Maslan.
Projek pertama membabitkan pembinaan jeti Markas Wilayah Laut 2 di sini.
Ahmad Maslan berkata jeti itu sepatutnya siap pada Jun lalu.
“Tetapi berlaku kelewatan dan kontraktor memohon untuk lanjutan masa (EOT) dan saya memberitahu hanya satu EOT,” katanya kepada media hari ini.
Terdahulu beliau melawat Jeti yang terletak di pangkalan TLDM Sandakan dan diberikan taklimat mengenai projek berkenaan.
Katanya, lanjutan masa itu menyebabkan projek itu siap pada Disember nanti.
Jabatan Kerja Raya akan menyelia projek itu dan memastikan ia siap pada masa yang ditetapkan, katanya.
Manakala satu lagi projek ialah pembinaan lebuh raya Pan Borneo Telupid-Sandakan
“Saya tahu rakyat di kawasan ini berhadapan dengan jalan yang sukar dibawah projek Pan Borneo.
“Semalam saya mengalami sendiri, melalui sendiri dalam perjalanan dari Telupid ke Sandakan,” katanya.
Menurutnya kontraktor untuk Pakej A dan Pakej B sepatutnya menyelenggara jalan untuk kegunaan orang ramai dengan baik.
“Ini sudah ada dalam kontrak mereka …mereka sepatutnya memastikan jalan yang terbaik untuk orang ramai dan bukan macam sekarang …saya amat tidak berpuas hati,” katanya lagi.
Sehubungan dengan itu, Ahmad Maslan meminta JKR Sabah untuk kerap turun padang.
“Tegur sama ada secara lisan atau bertulis serta memberikan amaran kepada kontraktor,” katanya.
Tamat.
