KOTA KINABALU,23 Dis-Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas dan sewajarnya terhadap kes maksiat yang tular berlaku di kawasan awam Teluk Likas baru-baru ini bagi mengelakkan perbuatan tidak bermoral itu terus berulang.
Pengerusi Persatuan Muafakat Anak Bangsa Sabah (PMAB Sabah) Ismail Sabran, berkata perbuatan tidak bermoral di ruang awam tidak boleh dipandang ringan kerana ia memberi isyarat yang salah kepada masyarakat sekiranya dibiarkan tanpa tindakan undang-undang yang tegas.
Menurutnya, penguatkuasaan perlu dipertingkatkan secara berterusan khususnya di kawasan rekreasi terbuka yang menjadi tumpuan orang ramai seperti Teluk Likas, yang sering dikunjungi oleh keluarga dan kanak-kanak.
“Teluk Likas merupakan kawasan awam yang sepatutnya dipelihara dari segi keselamatan, keharmonian dan kesucian.
Tahap kawalan serta pemantauan perlu diperkukuhkan bagi memastikan ia kekal sebagai ruang rekreasi yang selamat dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan kes maksiat di tempat awam bukan sekadar melanggar norma dan nilai masyarakat malah mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab terhadap undang-undang serta sensitiviti orang ramai.
Ismail turut melahirkan kebimbangan sekiranya perkara sedemikian dinormalisasikan ia boleh memberi pengaruh negatif kepada golongan muda dan seterusnya mencemarkan maruah keluarga serta masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar kerjasama masyarakat diperkukuhkan dengan menyalurkan maklumat serta melaporkan sebarang perlakuan mencurigakan kepada pihak berkuasa.
“Tanggungjawab menjaga keharmonian dan maruah ruang awam bukan hanya terletak di bahu penguat kuasa sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama seluruh masyarakat,” katanya.
Beliau menegaskan amaran keras serta tindakan berkesan amat diperlukan supaya kejadian seumpama itu tidak berulang dan tidak menjadi budaya yang bercanggah dengan nilai moral serta adat masyarakat di negeri ini.
TAMAT
