Keputusan Pemulangan 40 Peratus Hasil Sabah Dimuktamadkan Esok – PM

sabahheadlines
1 Min Read

TAWAU : 10 Nov- Keputusan mengenai tuntutan pemulangan hak 40 peratus hasil Sabah akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri esok, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan terlebih dahulu mendengar pandangan Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang sebelum membuat keputusan sama ada memfailkan rayuan atau sebaliknya.

“Soalnya, mahkamah arah untuk runding. Saya kata baik..kita akan runding. Tetapi hari ini hendak runding dengan siapa? Kerana kerajaan sekarang hanyalah kerajaan sementara (caretaker government).

” Tunggu pilihan raya, selepas kerajaan baharu dibentuk.. saya akan arahkan rundingan dimulakan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri program Jelajah Malaysia Digital di Tawau.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dan Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya telah menyalurkan peruntukan yang lebih besar kepada Sabah berbanding pentadbiran terdahulu.

Beliau berkata, Sabah kini menerima peruntukan tahunan sebanyak RM17 bilion, berbanding hasil yang dikutip Kerajaan Persekutuan di negeri itu iaitu kira-kira RM10 bilion setahun.

TAMAT

Share This Article