LAHAD DATU, 23 Disember — Polis Daerah Lahad Datu terus mempergiat usaha membanteras aktiviti samseng jalanan menerusi Operasi Motosikal (Samseng Jalanan) yang dijalankan dari jam 12 tengah malam hingga 4 pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Polis (ACP) Hj. Dzulbaharin Hj. Ismail memaklumkan
Operasi bersepadu itu menyasarkan beberapa lokasi dikenal pasti sebagai kawasan panas termasuk Bandar Lahad Datu, Bandar Fajar, Jalan Airport, Bandar Sri Perdana serta Jalan Pan Borneo.
Katanya, seramai 12 pegawai dan anggota daripada pelbagai bahagian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu terlibat dalam operasi berkenaan yang diketuai Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Lahad Datu, Inspektor Mohd Riduan Abdullah @ Mustaffa.
Sepanjang operasi sebanyak 20 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik antaranya memandu tanpa lesen, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, tiada cermin sisi, pengubahsuaian ekzos serta pengubahsuaian struktur peralatan kenderaan.
Selain itu, katanya sebuah motokar dan empat buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis turut memeriksa 18 individu dan 14 kenderaan selain menjalankan empat sesi advokasi keselamatan jalan raya kepada pengguna bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mematuhi peraturan lalu lintas.
Hj. Dzulbaharin menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti samseng jalanan yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
“Tindakan penguatkuasaan akan diteruskan secara konsisten demi menjamin keselamatan awam,” katanya sambil menyeru orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya serta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan samseng jalanan kepada pihak berkuasa.
TAMAT
