KOTA KINABALU,15 Dis-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, YB Haji Hazem Mubarak Musa menuntut agar isu gangguan bekalan air bersih yang berlarutan di kawasannya diberi perhatian serius dan diselesaikan segera oleh Kerajaan Negeri.
Berucap dalam perbahasan Belanjawan Negeri Sabah 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, beliau berkata meskipun Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM848 juta kepada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan, masalah tekanan air rendah serta paip usang masih membelenggu penduduk Sungai Manila .
Menurutnya, masih terdapat kampung yang mengalami gangguan bekalan air sehingga berhari-hari, sekali gus menjejaskan kehidupan seharian rakyat.
“Air bersih adalah keperluan asas. Kita tidak boleh bercakap tentang pembangunan digital atau ekonomi masa hadapan sekiranya rakyat masih bergelut untuk mendapatkan air bagi kegunaan harian,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta sebahagian peruntukan pembangunan JANS disalurkan secara khusus ke Sungai Manila bagi kerja-kerja menaik taraf sistem bekalan air termasuk penukaran paip lama yang sering pecah dan menyumbang kepada kadar air tidak berhasil (NRW) yang tinggi.
Dalam perbahasan sama, Hazem turut menyentuh isu peluang pekerjaan belia dan pembangunan modal insan di kawasannya. Beliau menyambut baik peruntukan RM249.19 juta bagi pembangunan sektor perindustrian dan keusahawanan serta RM39.24 juta bagi latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Bagaimanapun, beliau menggesa agar program latihan kemahiran dan peningkatan kemahiran tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, sebaliknya diperluaskan ke luar bandar termasuk Sungai Manila .
“Saya mencadangkan agar diwujudkan kerjasama antara pusat latihan kemahiran dengan industri di sekitar Sandakan dan POIC supaya kemahiran yang ditawarkan benar-benar menepati keperluan industri setempat,” katanya.
Selain itu, Hazem turut memohon agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan pembinaan sebuah mini stadium atau padang awam bertaraf standard di Sungai Manila bagi menyediakan ruang riadah yang selamat dan kondusif kepada belia serta penduduk setempat.
Merujuk kepada peruntukan RM10.05 juta bagi pembinaan dan penambahbaikan prasarana sukan di bawah Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, beliau berharap kemudahan itu dapat direalisasikan dalam Rancangan Malaysia Ke-13.
Menurutnya, penyediaan fasiliti sukan bukan sahaja dapat melahirkan atlet pelapis negeri, malah berperanan sebagai pusat penyatuan komuniti serta langkah pencegahan gejala sosial dalam kalangan belia.
Mengakhiri perbahasan, Hazem menyatakan sokongan terhadap Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) 2025 sambil berharap segala perancangan yang digariskan dalam Belanjawan Sabah 2026 dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan demi kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan Sungai Manila .
TAMAT
