KOTA KINABALU, 20 Januari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menahan sebuah bot lampu yang dipercayai menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram menggunakan lampu di dasar laut, dalam satu rondaan penguatkuasaan di perairan timur Tanjung Melanim, baru-baru ini.
Bot berkenaan ditahan pada kedudukan kira-kira 0.5 batu nautika timur Tanjung Melanim selepas dikesan melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang serta berpotensi merosakkan ekosistem marin.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, penggunaan lampu di dasar laut merupakan kaedah penangkapan ikan yang dilarang kerana ia mampu menarik hidupan marin secara tidak terkawal sekali gus menjejaskan keseimbangan ekosistem laut.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan ke atas vesel tersebut mendapati dokumen pengenalan diri kru adalah meragukan selain kegagalan mengemukakan dokumen pertukaran juragan yang sah.
“Pemeriksaan turut mendapati seramai dua orang kru warga Filipina, masing-masing berumur 54 tahun dan 19 tahun berada di atas vesel tersebut.
Kesemua kru bersama vesel telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti perikanan yang menggunakan lampu di dasar laut kerana ia memberi kesan buruk kepada sumber perikanan negara serta usaha pemuliharaan yang dilaksanakan kerajaan.
“Jika dibiarkan, kegiatan ini bukan sahaja merugikan nelayan yang mematuhi undang-undang, malah mengancam kelangsungan sumber laut dan sumber rezeki generasi akan datang,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua nelayan dan kru vesel supaya sentiasa mematuhi undang-undang perikanan negara serta mengamalkan kaedah penangkapan ikan yang lestari.
Tindakan tegas termasuk penahanan vesel dan tindakan kompaun akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan.
Dalam pada itu, Maritim Malaysia turut menyeru orang ramai dan komuniti maritim agar menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di perairan kepada pihak berkuasa bagi tindakan segera melalui Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088-387774 atau talian kecemasan 999.
TAMAT
