LAHAD DATU, 16 Disember – Keupayaan LOGISTIK Eastern Sabah Security Command ( ESSCOM) diperkukuh dengan siapnya projek pembinaan Stor Strategik ESSCOM bagi penempatan aset-aset taktikal dan strategik pasukan keselamatan.
Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor B. Sanjos berkata, projek bernilai RM288 ribu milik Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui ESSCOM itu telah dimulakan pada 6 Oktober 2024 dan disiapkan oleh kontraktor tempatan Sabah.
Menurut beliau, stor strategik berkenaan bakal meningkatkan keupayaan penyimpanan aset-aset taktikal dan strategik ESSCOM sekali gus mengoptimumkan pengoperasian ESSCOM serta pasukan keselamatan meliputi domain darat, maritim dan udara.
Victor berkata kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Siap Stor Strategik ESSCOM di Kompleks Batalion 17 Pasukan Gerakan Am, Lahad Datu, pada Selasa.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Operasi Sanggah yang dilaksanakan secara bersepadu bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta agensi penguatkuasaan lain akan terus diperkasakan bagi memastikan kedaulatan, keselamatan dan ketenteraman awam di Sabah Timur sentiasa terpelihara.
TAMAT
