TIADA ALKOHOL DI RUMAH TRADISI SEPANJANG KAAMATAN SABAH 2026

sabahheadlines
2 Min Read

PENAMPANG, 15 APRIL- Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam memaklumkan larangan penjualan dan penyediaan minuman beralkohol di semua rumah tradisi akan dikuatkuasakan sepanjang sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), di sini tahun ini.

Beliau berkata, sepanjang dua hari program Rumah Terbuka yang dijadualkan berlangsung pada 30 dan 31 Mei ini hanya minuman tradisional akan disediakan kepada pengunjung.

Menurutnya, langkah berkenaan merupakan antara penambahbaikan yang diperkenalkan bagi meningkatkan tahap keselesaan serta pengalaman pengunjung sepanjang menghadiri perayaan berkenaan.

“Rumah Terbuka akan diadakan di semua rumah tradisi bermula jam 11 pagi hingga 2 petang. Sepanjang tempoh itu kita tidak membenarkan penjualan atau hidangan minuman beralkohol di dalam kawasan rumah tradisi sebaliknya hanya minuman tradisional disediakan.

“Bagi minuman lain ia hanya dibenarkan di luar kawasan rumah terbuka,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Induk Pesta Kaamatan 2026 di Dewan Tan Sri Pairin, Hongkod Koisaan KDCA, di sini kelmarin.

Joachim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 berkata, pelbagai persembahan serta pameran berunsurkan tradisi akan terus dilaksanakan mengikut jadual di setiap rumah tradisi sepanjang sambutan berlangsung.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan beberapa inisiatif baharu diperkenalkan termasuk pembukaan kaunter informasi Kaamatan bermula 15 hingga 31 Mei ini bagi memudahkan pelancong dan orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan jadual program serta keunikan budaya etnik di negeri ini.

Selain itu kemudahan di kawasan tapak pameran agensi kerajaan turut dinaik taraf menerusi kerja penurapan bagi memastikan persekitaran yang lebih teratur dan selesa kepada pengunjung serta peserta pameran.

Tambahnya, langkah penambahbaikan itu diharap dapat mempertingkatkan lagi penganjuran Pesta Kaamatan sebagai acara kebudayaan utama negeri yang terus menarik kehadiran pelancong tempatan dan antarabangsa.

Share This Article