KOTA KINABALU;15 Dis, Cement Industries (Sabah) Sdn. Bhd. (CIS) hari ini menyalurkan sumbangan berjumlah RM1 juta kepada Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) sebagai sokongan terhadap pembangunan pendidikan di negeri ini.
Penyerahan replika cek disempurnakan Pengerusi CIS, Datuk Japlin Haji Akim kepada Pengerusi Bersama TPNS Dato’ Sri Haji Ghulam Haider Khan Bahadar dengan disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor pada majlis ringkas di pejabat Ketua Menteri di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri merangkap Pengerusi TPNS, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd Arif serta Pengurus Besar CIS, Haji Sumardi Mohd Yusof.
Sumardi berkata sumbangan itu mencerminkan komitmen CIS sebagai syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) dalam menyokong inisiatif Kerajaan Negeri bagi memperkasa akses pendidikan tinggi, sekali gus membangunkan modal insan Sabah selaras dengan visi melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing.
TAMAT
