SIPITANG, 14 Februari 2026 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah membuka Kaunter Perkhidmatan Pelanggan sempena Program Jualan Rahmah Madani Premium (PJRM) yang berlangsung di Dewan Serbaguna Sipitang hari ini.
Program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu diadakan dari jam 7.30 pagi hingga 5 petang dan menerima sambutan memberangsangkan daripada penduduk setempat.
Majlis perasmian PJRM disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali yang menegaskan komitmen kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup serta memperluas akses perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
Sepanjang program, JIM Sabah melalui Bahagian Kualiti dan Komunikasi Korporat menyediakan perkhidmatan khidmat nasihat berkaitan urusan Pasport Malaysia, semakan status perjalanan ke luar negara serta penerangan mengenai perkara berkaitan imigresen.
Kaunter perkhidmatan itu turut dibantu pegawai Pejabat Imigresen Sipitang bagi memastikan urusan pengunjung berjalan lancar.
Penyertaan JIM Sabah dalam program berkenaan dilihat sebagai usaha berterusan untuk memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, mesra pelanggan dan responsif, selaras aspirasi Malaysia MADANI.
TAMAT
