LAHAD DATU, 22 Nov — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Lahad Datu berjaya menggagalkan cubaan menyeludup minyak masak dan petrol dalam satu operasi awal pagi di perairan Felda Sahabat.
Menurut Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali, operasi digerakkan hasil maklumat risikan sebelum bot ronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot mencurigakan pada kira-kira jam 5.30 pagi hanya 0.16 batu nautika dari Tenggara Kampung Tandu Tungku.
“Menyedari kehadiran pihak berkuasa bot tersebut bertindak memecut laju dan mengubah haluan ke arah daratan. Suspek kemudian terjun ke laut dan melarikan diri,” katanya.
Pemeriksaan ke atas bot mendapati ia membawa 1,530 paket minyak masak bersaiz satu kilogram yang disembunyikan di bawah kanvas coklat selain 15 gelen petrol yang turut disorokkan di bawah kotak minyak masak. Semua rampasan dibawa ke Jeti Pos Maritim Felda Sahabat untuk siasatan lanjut.
Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan sebanyak RM75,240. Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana penyeludupan minyak masak dan petrol bersubsidi.
Maritim Malaysia meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut melalui WhatsApp Zon Maritim Lahad Datu di 016-9305727 atau talian kecemasan 999.
TAMAT
