Langkah Mitigasi Atasi Gangguan Air Kinarut–Kawang Dilaksana Segera

sabahheadlines
2 Min Read

PAPAR, 16 Jan – Kerja-kerja penyambungan silang rangkaian paip antara tangki utama P1 Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon dan tangki utama P3 di Kawang kini giat dilaksanakan sebagai langkah mitigasi segera bagi menangani gangguan serius bekalan air di Mukim Kinarut dan Kawang.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, projek tersebut susulan keputusan mesyuarat khas yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri pada 8 Januari lalu, selepas gangguan bekalan air berlarutan sejak akhir Disember 2025.

Menurut beliau, penyambungan silang itu akan menyalurkan kapasiti tambahan rawatan air sebanyak 10 peratus atau sekitar 3.5 hingga 4 juta liter sehari daripada LRA Kogopon sedia ada ke P3, sekali gus memendekkan jarak pembekalan daripada 33 kilometer kepada hanya 10.3 kilometer.

“Langkah ini penting sementara menunggu projek naik taraf LRA Kogopon 2 siap sepenuhnya pada suku keempat 2026,” katanya.

Kerja-kerja melibatkan penyambungan paip, penggantian injap dan pam air telah bermula pada 9 Januari dan dijalankan 24 jam sehari, dengan sasaran siap pada 24 Januari ini.

Proses penggantian injap dijangka memerlukan penutupan sementara loji selama kira-kira 10 jam pada lewat malam 20 Januari, tertakluk kepada keadaan cuaca.

Armizan berharap langkah mitigasi ini mampu mengurangkan gangguan bekalan air serta menamatkan isu catuan yang sekian lama membebankan penduduk di kawasan terjejas.

Katanya, pihak Jabatan Air Negeri Sabah akan memaklumkan secara rasmi kawasan yang terlibat dengan penutupan sementara loji dalam masa terdekat.

“Kita ikhtiarkan sehabis baik demi mengurangkan kesusahan rakyat dan memastikan bekalan air kembali stabil,” katanya.

TAMAT

Share This Article