LAHAD DATU, 19 SEPT – Sambutan Maulidur Rasul bukan sekadar perarakan dan berselawat sebaliknya perlu diterjemahkan melalui penghayatan akhlak, amanah, kejujuran, kasih sayang serta semangat persaudaraan dalam kehidupan seharian.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah, Datuk Isnin Aliasnih @ Liasnih berkata, kecintaan terhadap Rasulullah SAW perlu dizahirkan melalui amalan dan akhlak yang mencerminkan ajaran Baginda.
Menurutnya ajaran Rasulullah SAW turut mengajar umat Islam untuk hidup bersama dalam kepelbagaian dengan penuh hikmah, adab dan semangat persaudaraan.
Katanya, Lahad Datu merupakan daerah yang mempunyai masyarakat daripada pelbagai latar belakang, pekerjaan, keturunan dan pemikiran namun berkongsi tanah, masyarakat serta cita-cita yang sama.
“Jangan jadikan perbezaan sebagai tembok sebaliknya jadikan ia jambatan untuk mengukuhkan perpaduan dan keharmonian,” katanya ketika merasmikan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Daerah Lahad Datu 1448H/2026M di Dewan Masyarakat Tun Mustapa di sini.
Beliau berkata, kekuatan sesebuah masyarakat bukan terletak pada ketiadaan perbezaan tetapi keupayaan mengurus kepelbagaian dengan hikmah, adab dan persaudaraan.
Dalam pada itu katanya, pembentukan generasi Lahad Datu perlu diseimbangkan antara ilmu, adab, kejayaan, amanah dan iman kerana masa depan daerah bukan hanya bergantung kepada pembangunan fizikal malah turut bergantung kepada pembentukan modal insan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua kontinjen yang menyertai sambutan berkenaan termasuk peserta perarakan dan pertandingan sepanduk selain menyeru masyarakat membawa pulang semangat persaudaraan serta akhlak Rasulullah SAW untuk diamalkan dalam kehidupan.
Sambutan yang dianjurkan Pejabat Daerah Lahad Datu itu turut menampilkan ceramah agama oleh Timbalan Mufti Negeri Sabah, Sahibul Fadhilah Ustaz Abdul Razak Hamdin selain penyampaian Tokoh Maulidur Rasul 1448H/2026M kepada Al Fadhil Ustaz Hj. Sudirman Hj. Moh Saleng.
Program berkenaan disertai kira-kira lebih1,000 peserta membabitkan kakitangan jabatan kerajaan Persekutuan dan Negeri, pemimpin masyarakat, ketua masyarakat serta peserta perarakan.
