PH Letak Calon Saat Akhir di Silam, Mizma Anggap Tidak Hormati Rundingan

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU,15 NOV – Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan (DU) N.62 Silam, Datuk Mizma Appehdullah menzahirkan rasa terkilan susulan tindakan Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon di kerusi Silam pada saat-saat akhir sedangkan rundingan sebelum ini menyatakan PH hanya akan bertanding di DU Segama.

Menurutnya, langkah PH itu tidak selari dengan persetujuan awal antara kedua-dua gabungan namun GRS tetap menghormati proses demokrasi dan tidak menjadikan perkara tersebut sebagai halangan.

“PH sebelum ini telah akur untuk bertanding di Segama sahaja. Tetapi pada saat akhir mereka meletakkan calon di Silam. Kita anggap ini perkara yang tidak sejajar dengan rundingan yang telah dibuat,” katanya.

Walau bagaimanapun Mizma menegaskan bahawa tindakan tersebut tidak menjejaskan fokus dan persediaan jentera GRS yang telah diperkukuh sejak awal.

“Kita raikan juga pertandingan ini sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi negara. Saya yakin dengan persiapan jentera kita,” katanya ketika ditemui selepas proses pengumuman calon di Dewan Perdana, Sabtu.

Terdahulu, Mizma diumumkan sebagai calon GRS bagi DU N.62 Silam dan bakal berdepan lapan calon lain termasuk calon daripada Warisan, Barisan Nasional, Perikatan Nasional, PH, SPP, PIS, PKS serta seorang calon Bebas.

Mengulas mengenai pertembungan sembilan penjuru beliau berkata keadaan itu bukan kekacauan sebaliknya persekitaran politik yang sihat bagi mengukur pilihan rakyat.

“Biarkan rakyat memilih. Saya yakin mereka tahu parti atau gabungan yang benar-benar bekerja untuk rakyat,” tambahnya.

Mizma turut menegaskan jentera GRS telah bersiap rapi dan akan meneruskan segala strategi yang dirancang bagi memastikan kemenangan gabungan itu di Silam.

TAMAT

Share This Article