TUARAN: Kerajaan Sabah berhasrat mengurangkan pergantungan terhadap sumber tenaga konvensional dengan mempergiatkan pembangunan tenaga boleh baharu sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang bagi memastikan bekalan tenaga negeri lebih lestari dan berdaya tahan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata usaha tersebut selari dengan Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) yang menjadi panduan utama dalam merancang pembangunan sektor tenaga negeri secara menyeluruh.
Menurut beliau, kepelbagaian sumber tenaga termasuk tenaga solar dan hidro amat penting dalam memastikan kestabilan sistem tenaga selain membantu Sabah menghadapi cabaran perubahan iklim serta ketidaktentuan pasaran tenaga global.
“Perluasan penggunaan tenaga boleh baharu bukan sahaja membantu menyeimbangkan campuran tenaga negeri, malah meningkatkan daya tahan sistem tenaga kita. Ini merupakan pelaburan penting untuk memastikan Sabah kekal hijau dan makmur pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan projek Solar Skala Besar berkapasiti 15 megawatt (MW) di Tuaran serta menghadiri majlis Iftar Ramadan anjuran Sabah Energy Corporation di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah, Kampung Lok Batik, di sini hari ini.
Hajiji berkata projek berkenaan mencerminkan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memperkukuh pembangunan tenaga boleh baharu di Sabah.
Beliau turut memuji inisiatif Sabah Energy Corporation yang sebelum ini melaksanakan projek solar berkapasiti 5MW di Labuan, sekali gus membuktikan keupayaan teknikal dan komersial syarikat itu dalam menerajui pembangunan tenaga hijau.
Menurutnya, selain menambah kapasiti bekalan tenaga sebanyak 15MW kepada sistem tenaga negeri, projek tersebut juga memainkan peranan penting dalam usaha mentransformasikan struktur tenaga Sabah ke arah yang lebih mampan.
Sepanjang tempoh pembinaan, kira-kira 150 tenaga kerja dijangka terlibat secara langsung, termasuk pekerja tempatan yang berpeluang memperoleh pengalaman industri serta pendedahan kepada teknologi tenaga boleh baharu.
Apabila projek itu beroperasi sepenuhnya kelak, ia dijangka mewujudkan kira-kira 50 peluang pekerjaan dalam bidang operasi, penyelenggaraan, teknikal dan sokongan pentadbiran.
Hajiji berkata inisiatif itu bukan sahaja berpotensi meningkatkan pendapatan isi rumah, malah membantu memperkukuh ekosistem tenaga hijau negeri selaras dengan aspirasi pembangunan di bawah Sabah Maju Jaya 2.0.
“Pembangunan yang kita usahakan bukan sekadar pertumbuhan ekonomi semata-mata, tetapi turut membuka peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran rakyat serta memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa projek berkenaan turut menjadi bukti komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh keselamatan tenaga Sabah, sambil memastikan pembangunan ekonomi bergerak seiring dengan usaha pemeliharaan alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang.
TAMAT
