Pitas: Golongan muda bakal menikmati Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) tahun depan.
Sejajar dengan itu, tambahan 10 unit rumah mesra akan dilaksana bagi setiap Dewan Undangan Negeri.
Ketika mengumumkan tambahan unit rumah itu, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata tambahan itu adalah untuk golongan muda yang layak dan baharu berkahwin.
“Tambahan sebanyak 10 unit itu adalah untuk orang muda yang susah dan baru berkahwin kerana faham ada anak muda yang baru berkahwin masih tinggal di rumah keluarga,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan dan Kedai Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) Kampung Taka di sini hari ini.
Katanya, tambahan itu menjadikan sebanyak 50 unit Rumah Mesra SMJ akan dibina di setiap kawasan DUN mulai tahun depan berbanding sebanyak 40 unit pada tahun ini.
“Dulu hanya ada empat atau lima buah rumah PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin), tapi tahun ini kita bagi 40 buah Rumah Mesra SMJ dan tahun depan kita usaha sebanyak 50 unit di setiap DUN untuk rakyat,” katanya.
Mengenai projek perumahan dan kedai LPPB di Kampung Taka, Hajiji yakin ia bakal menjadi sebuah projek yang akan memberi impak besar kepada masyarakat.
“Saya dimaklumkan bahawa projek ini bakal melibatkan pembinaan sebanyak 320 unit rumah – iaitu unit rumah berkembar setingkat dan unit rumah teres setingkat,” katanya lagi
Projek itu didirikan di atas tanah seluas 37.60 ekar milik LPPB dan akan mempunyai 171 unit kedai yang terdiri daripada unit kedai atau pejabat.
“Saya berharap projek melalui usahasama kerajaan dan swasta ini dapat dilaksanakan secara teratur, mengikut jadual, dan menepati perjanjian yang telah dimeterai, sekali gus memenuhi keperluan masyarakat.
“Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan beban kewangan kerajaan, malah membolehkan sumber kewangan kerajaan difokuskan kepada pembangunan sosio ekonomi dan infrastruktur lain demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Pada majlis itu, Hajiji turut mengumumkan kelulusan untuk membina mini kompleks sukan Pitas, selain pembinaan terminal bas awam dengan kos RM1 juta dan pembinaan rumah budaya di Dataran Pitas bernilai RM1.4 juta.
Hajiji turut memberi perhatian terhadap projek ternakan udang dengan kerjasama Yayasan Sabah dan sebuah syarikat yang terbengkalai agar dapat dihidupkan semula untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan ekonomi kepada rakyat Pitas.
Katanya, perbincangan dengan SAFODA akan dibuat berhubung sebidang tanah yang dimohon oleh rakyat supaya dikeluarkan dari kawasan agensi kerajaan negeri itu di Pitas.
Dalam majlis sama, Hajiji turut menyerahkan sebanyak 468 geran tanah melibatkan keluasan 1,273.432 hektar kepada para penerima, terdiri daripada 228 geran tanah dibawah Program Pengukuran Anak Negeri (Pantas) dengan keluasan 863.735 hektar, 239 geran tanah bagi permohonan tanah (NT) dengan keluasan 406.11 hentar dan 1 geran tapak Balai Polis Pitas dengan keluasan 3.587 hektar.
Tamat
