KEBAKARAN MUSNAHKAN LAPAN RUMAH SETINGGAN DI KAMPUNG HIDAYAT

sabahheadlines
2 Min Read

TAWAU, 29 Sept – Lapan rumah setinggan musnah dalam kebakaran di Kampung Hidayat, Jalan Apas di sini, tengah hari tadi, yang turut menyebabkan seorang lelaki berusia 71 tahun cedera melecur di tangan.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 11.50 pagi menerusi talian MERS999.

Seramai 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau diketuai Komander Operasi PBK I Mohd Yahya Abd Fatah bersama Komander Operasi Kanan PPgB Madzlan Sarman digerakkan ke lokasi kejadian sejauh lapan kilometer dengan kekuatan empat jentera termasuk FRT, EMRS dan water tanker.

“Kebakaran membabitkan lapan rumah setinggan tidak kekal dengan keluasan keseluruhan 1,300 x 200 kaki persegi serta sebuah kereta Proton Wira. Semua struktur terlibat musnah 100 peratus,” kata kenyataan itu.

Pasukan bomba melaksanakan operasi pemadaman menggunakan teknik ofensif dan defensif dengan satu aliran dan dua pancutan sepanjang 400 kaki berbekalkan sumber air daripada jentera dan water tanker.

Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Titingan, Bomba Komuniti Kampung Hidayat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Tindakan pantas pasukan penyelamat berjaya mengelakkan kebakaran daripada merebak ke 350 rumah lain serta sebuah kilang papan berdekatan.

Seorang lelaki berusia 71 tahun yang melecur pada bahagian tangan diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS bomba sebelum dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.

Kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.32 tengah hari sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.15 petang selepas lokasi disahkan selamat.

TAMAT

Share This Article