PENANGGUHAN BAYARAN 40 PERATUS HASIL SABAH CETUS KEBIMBANGAN, PELAKSANAAN WAJAR DISEGERAKAN

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 7 APRIL- Keputusan membenarkan penangguhan pelaksanaan bayaran 40 peratus hasil kepada Sabah terus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat negeri ini khususnya terhadap tahap komitmen pelaksanaan oleh pihak berkaitan.

Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah, Azrul Ibrahim berkata walaupun Kerajaan Persekutuan mengiktiraf penggunaan formula 40 peratus serta keperluan semakan semula, penangguhan tersebut memberi gambaran kurang meyakinkan dari segi pelaksanaan sebenar.

Menurut beliau, rayuan di Mahkamah Rayuan yang melibatkan isu “Tahun-Tahun Hilang” bagi tempoh 1974 hingga 2021 tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha melaksanakan semakan serta pembayaran bagi tahun semasa.

Katanya, kedua-dua perkara itu wajar ditangani secara berasingan dengan pendekatan lebih konstruktif bagi memastikan hak negeri tidak terus tertangguh.

“Keperluan Sabah terhadap hasil tambahan ini amat mendesak khususnya untuk pembangunan infrastruktur asas dan kesejahteraan rakyat. Justeru pelaksanaannya perlu disegerakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menegaskan bahawa tuntutan 40 peratus hasil bukanlah suatu bentuk rundingan politik sebaliknya merupakan hak berasaskan Perlembagaan yang perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab.

Dalam pada itu, Azrul menekankan kepentingan ketelusan dalam isu berkenaan termasuk keperluan menetapkan garis masa yang jelas berkaitan pelaksanaan semakan dan pembayaran supaya rakyat tidak terus berdepan ketidakpastian.

Tambahnya, hubungan kukuh antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri seharusnya dizahirkan melalui keikhlasan serta kesungguhan mencari penyelesaian tanpa bergantung sepenuhnya kepada proses perundangan.

Beliau turut menyeru rakyat Sabah agar kekal tenang, bersatu dan konsisten dalam memperjuangkan hak negeri dengan pendekatan yang berhemah serta berterusan.

“Perjuangan ini adalah tanggungjawab bersama dan perlu diteruskan secara matang demi memastikan hak Sabah dilaksanakan seperti yang termaktub,” katanya.

Share This Article