KOTA MARUDU, 18 Ogos 2025-Laungan “Justice for Zara!” bergema lantang di kawasan parkir Dewan Komuniti Kota Marudu malam tadi apabila lebih 6,000 orang membanjiri himpunan solidariti aman.
Perhimpunan anjuran Pertubuhan Kebajikan Al-Fatih (PKAS) Sabah yang diketuai Datu Mohamad Farid bin Datu Liman itu bermula 8.30 malam.
Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim, Ketua Cabang PKR Kota Marudu Zaidi Jatil, pemimpin NGO, ahli silat, golongan agama serta penduduk dari Pitas, Matunggong, Kudat dan Kota Belud.
Datu Mohamad Farid menyeru rakyat Malaysia menolak budaya buli yang disifatkan sebagai “pembunuh senyap” dalam masyarakat.
“Meskipun ada pihak tidak bersetuju perhimpunan ini diadakan, kita tetap teruskan demi keadilan. Zara bukan sekadar seorang pelajar, dia adalah anak kita semua,” katanya yang disambut laungan takbir dan “Justice for Zara” sebanyak tiga kali.
Suasana bertambah syahdu apabila peserta mengangkat poster dan sepanduk bertulis mesej pilu seperti “Bully Itu Pembunuh Senyap, Hari Ini Suara Kami Takkan Senyap”, “Kami Bangkit Demi Keadilan Zara” dan “Justice For Zara – Kata-Kata Ini Adalah Tangisan Tidak Didengar”.
Secara keseluruhan, 11 poster, 6 kain rentang dan 5 banner menghiasi lokasi perhimpunan, menjadikannya antara demonstrasi aman terbesar pernah diadakan di daerah itu.
Tolak Buli, Suara Rakyat Didengar
Himpunan berakhir dengan laungan “Tolak Buli” sebanyak tiga kali sebagai simbol penolakan tegas terhadap segala bentuk penindasan, khususnya dalam kalangan pelajar.
“Keadilan bukan hanya untuk Zara, tetapi untuk semua yang pernah dibuli dan tidak didengari. Hari ini Zara, esok siapa pula?” kata seorang peserta.
TAMAT
