ISU TANAH DI KAMPUNG KARAMUNTING MULA DIBINCANG

sabahheadlines
2 Min Read

JALIE MOHAMAD

SANDAKAN (7 Mei): Perbincangan berkaitan pertikaian tanah di Karamunting mencapai persetujuan awal dari pihak yang berkepentingan.

Perbincangan hari ini melibatkan tanah milik persendirian seluas enam ekar dan sekitar 16 ekar dibawah pentadbiran Majlis Perbandaran Sandakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, memaklumkan bahawa pemilik tanah persendirian tersebut telah bersetuju secara prinsip untuk menukar tanah berkenaan dengan kerajaan.

Perbincangan itu berlangsung di bilik mesyuarat MPS disertai oleh wakil Jabatan Tanah dan Ukur Sandakan, pejabat Ahli Parlimen Batu Sapi, Mahkamah Anak Negeri, ketua kampung serta pemilik tanah yang terlibat.

Bagi tanah yang berada di bawah MPS, cadangan utama adalah untuk mewartakan kawasan berkenaan sebagai perkampungan rasmi.

Langkah itu dilihat mampu memberi pengiktirafan sah kepada penduduk Kampung Karamunting yang telah lama menetap di situ.

“Semua pihak hari ini menunjukkan komitmen tinggi dan bersedia bekerjasama untuk menyelesaikan isu ini secara baik. Ini adalah permulaan yang positif,” kata George Hiew.

Beliau turut menjelaskan bahawa mesyuarat tersebut turut merangka beberapa garis panduan berkaitan sempadan tanah, prosedur pentadbiran serta langkah-langkah susulan yang perlu diambil dalam proses permohonan dan pemutihan status tanah.

Satu lagi mesyuarat dijangka akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperincikan pelaksanaan penyelesaian yang telah dicadangkan.

George turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk ketua kampung, wakil penduduk dan pemilik tanah atas kerjasama erat yang diberikan demi kepentingan bersama.

Tamat

Share This Article