KAPAL TUNDA GAGAL PATUHI PERATURAN MARITIM DITAHAN DI PERAIRAN SIPITANG

sabahheadlines
2 Min Read

SIPITANG, 18 Nov – Sebuah kapal tunda yang dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan ketika melalui perairan Sipitang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan dalam operasi bersepadu Op Sejahtera 1/2022 dan Op Tiris 3.0, semalam.

Kapal tunda berwarna biru itu dikesan oleh anggota Bot Penggalang 24 kira-kira jam 1.50 petang, ketika ia dalam perjalanan menuju ke Jeti Petronas Chemical Fertiliser Sabah, Sipitang.

Hasil pemeriksaan mendapati kapal berkenaan dipercayai melakukan pelbagai kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, termasuk gagal mengemukakan dokumen kapal yang lengkap,berlayar tanpa Ketua Jurutera,tiada insurans kapal,tiada perjanjian kru,buku log pegawai tidak dikemas kini Dan gagal mempamerkan sijil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Kapal tersebut kemudiannya diiringi ke Jeti Maritim Labuan untuk tindakan lanjut oleh Seksyen Siasatan Maritim Malaysia.

Pengarah Zon Maritim Labuan Kapten Maritim Izwanhadi Hj. Idros berkata tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan tahap keselamatan pelayaran dan pematuhan undang-undang maritim sentiasa berada pada tahap terbaik.

Beliau menegaskan bahawa Maritim Malaysia komited memperkukuh penguatkuasaan terutamanya di kawasan perairan berisiko tinggi termasuk kawasan industri serta laluan perdagangan utama.

Maritim Malaysia turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Labuan (087-427999) bagi membantu memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara.

TAMAT

Share This Article