650 MURID MASIH MENUMPANG, PROJEK SMK LANGKON PERLU DISEGERAKAN

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA MARUDU, 7 JUN – Projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkon yang terbengkalai sejak 16 tahun lalu akan dibawa ke perhatian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mendapatkan tindakan segera.

Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Sabah,Datuk James Ratib telah mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan yang masih belum disiapkan walaupun pembinaannya bermula sejak tahun 2010.

Menurut beliau, kelewatan projek itu memberi kesan besar kepada kira-kira 650 murid yang terpaksa menumpang di Sekolah Kebangsaan (SK) Langkon untuk meneruskan sesi pembelajaran.

Katanya, keadaan berlarutan itu menimbulkan pelbagai cabaran termasuk kekurangan kemudahan, isu keselesaan serta persekitaran pembelajaran yang kurang kondusif bagi murid dan guru.

“Keadaan ini tidak seharusnya berterusan kerana ia menjejaskan proses pembelajaran dan perkembangan pendidikan di kawasan ini.

“Saya akan membawa perkara ini kepada Menteri Pendidikan Malaysia supaya penyelesaian dapat dicapai dengan segera demi kepentingan murid dan warga sekolah,” katanya.

Beliau turut berharap kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan dapat diperkukuhkan bagi memastikan projek pembinaan SMK Langkon dapat diteruskan dan disiapkan dalam tempoh yang munasabah.

Menurutnya, penyelesaian terhadap isu berkenaan amat penting bagi memastikan murid di kawasan Langkon memperoleh kemudahan pendidikan yang lebih selesa dan berkualiti selaras dengan keperluan semasa.

Share This Article