Mayat Lelaki Ditemui Terapung di Sungai Kalansanan, Tiada Unsur Jenayah Dikesan

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 1 Mac – Polis mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki di tepi Sungai Kalansanan, Kampung Kalansanan, Inanam, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Polis Kasim Muda berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 10.27 pagi melalui panggilan telefon daripada seorang kakitangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

“Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota polis yang berada berhampiran telah digerakkan ke lokasi. Pemeriksaan awal mendapati mayat lelaki berkenaan berada kira-kira 30 meter dari jalan utama di tepi sungai berhampiran laluan pintas ke Ujana Kingfisher,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah telah menjalankan siasatan dan pemeriksaan di tempat kejadian.

“Hasil pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang kesan kecederaan mahupun petunjuk berlakunya perbuatan jenayah pada tubuh mangsa,” katanya.

Identiti si mati telah dikenal pasti sebagai lelaki tempatan berusia 34 tahun yang merupakan pemastautin tetap dan pemegang MyPR. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian secara rasmi.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta diminta menyalurkan maklumat berkaitan kepada pihak berkuasa bagi membantu proses siasatan.

Polis memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan.

TAMAT

Share This Article