KOTA KINABALU: 29 Julai- Tindakan pantas pihak bomba menyelamatkan dua lelaki yang terperangkap dalam lif.
Kedua-dua lelaki terperangkap dalam lif ketika berlaku kebakaran di tingkat lima kawasan parkir bangunan The Shore, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 1.57 pagi dan jentera pertama dari BBP Kota Kinabalu tiba di lokasi pada jam 2.10 pagi.
Komander Operasi, PBK II Martha Padis berkata kebakaran melibatkan barang-barang pembinaan dengan keluasan terbakar dianggarkan 20 peratus dari keseluruhan ruang 100×20 kaki.
“Dua mangsa lelaki terperangkap dalam lif akibat asap tebal berjaya diselamatkan dan diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS akibat sesak nafas,” katanya.
Operasi turut disertai 19 anggota dari BBP Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang menggunakan beberapa jentera termasuk CFRT, FRT, EMRS, RIM dan unit komunikasi.
Operasi diketuai oleh Komander Operasi Kanan PPgB Riki Mohan Singh Ramday, dan tamat sepenuhnya pada jam 3.33 pagi selepas api berjaya dikawal pada 3.25 pagi.
Turut berada di lokasi, pegawai dari Ibu Pejabat JBPM serta bantuan tujuh anggota PDRM. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
TAMAT
