sh@ Syarmilah Salleh
LAHAD DATU: 29 Julai 2025 – Lima lelaki termasuk tiga penjawat awam ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Harapan Jalan Silam semalam, selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner HJ Dzulbaharin HJ Ismail berkata, tangkapan dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) menerusi Operasi Tapis yang dijalankan pada 28 Julai.
“Hasil pemeriksaan menemukan dadah jenis syabu seberat 0.41 gram, 224 liter air ketum serta 8.20 liter ubat batuk.
“Turut dirampas senjata berbahaya iaitu sebilah pedang samurai dan enam bilah parang dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM11,655.40,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati seorang suspek positif dadah jenis Meth/Amp, manakala empat lagi negatif.
Kelima-lima suspek yang berusia antara 24 hingga 38 tahun kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958.
“Polis akan terus komited dalam usaha membanteras jenayah berkaitan dadah demi keselamatan dan kesejahteraan komuniti,” katanya.
TAMAT
