RATUSAN PENGGUNA MENGHADAPI GANGGUAN ELEKTRIK DI LAHAD DATU

sabahheadlines
3 Min Read

LAHAD DATU,26 Disember – Lebih 300 pengguna elektrik di sekitar Lahad Datu dan Tungku dilaporkan terjejas akibat gangguan bekalan elektrik yang berlaku sejak awal pagi ini sekali gus mencetuskan rasa kecewa dan persoalan mengenai kestabilan bekalan tenaga di kawasan berkenaan.

Difahamkan, gangguan berlaku pada waktu berbeza dengan sebahagian pengguna mengalami bekalan terputus seawal jam 2-3 pagi manakala selebihnya sekitar jam 5.30 pagi.

Pengguna meluahkan rasa tidak puas hati terhadap ketiadaan notis atau makluman awal daripada pihak berkaitan sehingga menyukarkan mereka membuat persediaan terutama bagi urusan pekerjaan, perniagaan dan keperluan harian.

Lebih menimbulkan persoalan, beberapa pengguna mendakwa lampu limpah di sepanjang jalan menuju ke pusat bandar menyala terang seolah-olah kawasan berkenaan bermandikan cahaya ketika kediaman dan premis mereka bergelap.

Dalam pada itu pengguna turut mempersoalkan keberkesanan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri Lahad Datu (BESS Lahad Datu) yang sebelum ini diperkenalkan sebagai antara usaha meningkatkan kestabilan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah.

BESS Lahad Datu yang diselia Sabah Electricity merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri untuk memastikan rakyat menikmati bekalan elektrik yang stabil, mencukupi dan mampu milik.

Bagaimanapun, gangguan bekalan yang didakwa kerap berlaku, mengambil masa berjam-jam untuk dipulihkan, selain pelaksanaan catuan elektrik di sesetengah kawasan, menyebabkan pengguna mempersoalkan sejauh mana sistem berkenaan memberi manfaat kepada mereka.

Malah, ada pengguna menyifatkan janji meningkatkan kestabilan bekalan elektrik itu seolah-olah hanya tinggal omongan, apabila masalah gangguan masih berulang dan terus menjejaskan kehidupan seharian.

Pengguna turut mempersoalkan dakwaan bahawa penggunaan power bank mampu membantu menangani isu bekalan elektrik, yang dianggap bukan penyelesaian sebenar kepada masalah berkenaan.

Difahamkan, gangguan elektrik turut dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di Tawau dan Kunak.

Selain itu, difahamkan berlaku kejadian kabel elektrik bervoltan tinggi yang terjatuh di atas jalanraya di Ranau menyebabkan pergerakan trafik dari kedua -dua arah terhenti berikutan kebimbangan risiko renjatan elektrik terhadap pengguna jalanraya.

Bagaimanapun, punca sebenar gangguan serta kaitannya dengan kejadian berkenaan masih memerlukan pengesahan daripada pihak Sabah Electricity.

Sehubungan itu, pengguna berharap Sabah Electricity tampil memberikan penjelasan mengenai punca gangguan, keberkesanan operasi BESS Lahad Datu serta langkah jangka panjang bagi memastikan bekalan elektrik lebih konsisten dan tidak terus membebankan pengguna.

Dalam perkembangan berkaitan, Sabah Electricity (SESB) menerusi notis pemberitahuannya yang terkini memaklumkan bahawa seluruh daerah Lahad Datu dan Tungku sedang mengalami gangguan bekalan elektrik.

Pihak SESB memaklumkan sedang mengenal pasti punca gangguan sebelum melaksanakan kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik.

Pengguna yang mempunyai pertanyaan boleh menghubungi talian Careline SESB di 15444 atau 088-515000, menerusi WhatsApp 019-8525427, laman Facebook Sabah Electricity Careline atau akaun X (Twitter) @carelinesesb.

SESB turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami pengguna berikutan gangguan berkenaan.

Share This Article