11 GAJAH TERMASUK ANAK GAJAH DISELAMATKAN DARI KOLAM TERBIAR DI KINABATANGAN

sabahheadlines
1 Min Read

KINABATANGAN, 11 MEI – Sebanyak 11 ekor gajah termasuk seekor anak gajah berjaya diselamatkan selepas terperangkap di dalam sebuah kolam air terbiar berhampiran Hutan Simpan Deramakot, di sini.

Kejadian dipercayai berlaku minggu lalu apabila kawanan gajah berkenaan memasuki kawasan kolam tersebut sebelum gagal keluar akibat keadaan tebing yang curam dan licin.

Menurut Jabatan Hidupan Liar (JHL), operasi menyelamat segera dijalankan sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu.

“Hasil tindakan pantas dan kerjasama semua pihak, kesemua 11 ekor gajah berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan serius dilaporkan,” menurut kenyataan jabatan itu pada Isnin.

Operasi menyelamat dilakukan dengan membentuk laluan keluar yang lebih landai dan selamat bagi membolehkan kesemua haiwan berkenaan keluar dari kawasan kolam tersebut.

JHL turut mencadangkan agar kolam air terbiar itu ditutup atau dipasang halangan keselamatan yang bersesuaian bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan hidupan liar berada dalam keadaan berbahaya atau memerlukan bantuan.

Share This Article