KOTA KINABALU,26 November – Peruntukan besar Kerajaan Negeri dalam program pembangunan pendidikan dan modal insan pada tahun ini membuktikan kemampuan serta komitmen tinggi kerajaan semasa dalam membela nasib rakyat Sabah untuk terus maju ke hadapan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata komitmen itu turut menjadi bukti keprihatinan kerajaan dalam memastikan ekosistem pendidikan di negeri ini sentiasa kondusif, inklusif dan berdaya saing.
Katanya, usaha berkenaan diperkukuh menerusi pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang menjadi pelan strategik utama untuk melonjakkan daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi Sabah secara mampan serta inklusif.
“Kerajaan Negeri meletakkan pembangunan modal insan sebagai antara teras utama dalam pelan pembangunan Hala Tuju SMJ. Ini kerana pendidikan merupakan asas penting dalam membina masa depan sesebuah negeri dan negara. Pendidikan juga adalah kunci utama yang mampu mengubah nasib sesebuah keluarga, membasmi kemiskinan dan seterusnya memacu kemajuan negeri Sabah ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Inisiatif Pendidikan Sabah Tahun 2026 di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, prinsip kerajaan negeri amat jelas iaitu mengutamakan agenda ‘Sabah First’ serta menjamin akses pendidikan untuk semua tanpa membiarkan anak-anak Sabah tercicir daripada mendapat pendidikan berkualiti.
Katanya, walaupun hal ehwal pendidikan secara dasarnya berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri sentiasa mengambil pendekatan proaktif dan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menurutnya, fokus utama kerajaan negeri adalah memastikan akses pendidikan yang adil dan saksama kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang keluarga, kedudukan ekonomi atau tempat tinggal.
“Sehubungan itu, pelbagai inisiatif bantuan pendidikan dilaksanakan bagi membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah khususnya melalui bantuan kewangan, biasiswa dan sokongan persekolahan supaya tiada anak tercicir hanya disebabkan kekangan kewangan”, katanya.
Hajiji berkata, sebanyak 14 inisiatif bantuan pendidikan dilaksanakan kerajaan negeri, termasuk Bantuan Yuran Peperiksaan MUET (BAYU) bagi pelajar B40 yang memberi manfaat kepada sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) serta persatuan pelajar Sabah di dalam dan luar negara.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 13 inisiatif di bawah Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah dilaksanakan tahun ini dengan peruntukan RM87.5 juta dan akan diteruskan pada tahun hadapan”, katanya.
“Antara inisiatif berkenaan ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI), Bantuan Aktiviti PIBG (BAGUS), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) dan Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS).
“Inisiatif lain termasuk Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU), Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA), Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA), Bantuan Graduan Rindu Sabah atau Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS-SUBFLY), Sumbangan Mahasiswa Pendidikan Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA) dan Sumbangan Kegiatan Sekolah Secara One Off (SUKSES)”, katanya.
Hajiji berkata, dalam tempoh lima tahun pelaksanaan inisiatif bantuan itu, kerajaan negeri membelanjakan RM254 juta dan memberi manfaat kepada 141,635 pelajar IPT serta 277,124 pelajar sekolah. Peruntukan berkenaan turut memberi manfaat kepada 1,537 sekolah termasuk sekolah agama, 67 persatuan pelajar IPT Sabah, selain membolehkan 476 program pendidikan dilaksanakan.
Selain itu, katanya bantuan pendidikan turut disalurkan melalui beberapa agensi kerajaan negeri, badan berkanun dan organisasi bantuan yang boleh diakses menerusi Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS).
Antaranya Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) yang menyediakan biasiswa dan tajaan pengajian tinggi dengan peruntukan meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM161 juta setakat 31 Oktober 2026 berbanding RM55 juta pada 2021. Bantuan pendidikan turut disediakan Yayasan Sabah dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
Hajiji berkata, kerajaan negeri akan terus memperkukuh dan menambah baik pelbagai inisiatif bantuan pendidikan supaya penyampaiannya lebih berkesan, telus serta sampai kepada kumpulan sasar.
Beliau turut meminta semua pihak termasuk jabatan kerajaan, pihak sekolah, institusi pendidikan, ibu bapa dan komuniti setempat, berganding bahu menyokong usaha berkenaan demi masa depan generasi muda yang bakal menjadi modal insan, pemimpin dan tenaga profesional untuk menyumbang kepada pembangunan Sabah dan negara pada masa hadapan.
