LELAKI 70 TAHUN DITEMUKAN MENINGGAL DUNIA DI SUNGAI KAMPUNG RAJUNAH

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA BELUD, 13 OKTOBER – Seorang lelaki berusia 70 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika menjalankan aktiviti menjala ikan di sungai berhampiran Kampung Rajunah, di sini, hari ini.

Mangsa ditemukan orang awam kira-kira jam 7.30 pagi selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menurut maklumat awal, mangsa dipercayai keluar dari rumah pada kira-kira jam 5.30 petang semalam dengan membawa jala ikan menuju ke sungai berkenaan.

Bilik Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud menerima panggilan kecemasan daripada pihak polis pada jam 10.54 malam, 12 Oktober, berhubung kejadian orang hilang di kawasan berkenaan.

Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 11.07 malam dan menjalankan pencarian menggunakan teknik Surface Search di kawasan tebing sungai.

Bagaimanapun, operasi pencarian pada malam itu berdepan kesukaran berikutan keadaan gelap, selain tiada petunjuk ditemukan berkaitan keberadaan mangsa atau barangan yang dibawanya.

Operasi SAR kemudian ditangguhkan pada jam 12.20 tengah malam sebelum disambung semula pada pagi ini.

Mangsa ditemukan dengan jala tersangkut pada badannya dan dipercayai lemas ketika menjalankan aktiviti menjala ikan.

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kematian mangsa di lokasi kejadian sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi berkenaan melibatkan lapan anggota BBP Kota Belud dengan bantuan dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Operasi SAR ditamatkan pada jam 8.45 pagi.

Share This Article