PKMB SOKONG UNIFIED SPORTS SPECIAL OLYMPICS SABAH 2026

sabahheadlines
2 Min Read

KENINGAU,17 Oktober – Sokongan masyarakat terhadap sukan inklusif terus diperkukuh apabila Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor (PKMB) tampil menyumbang bagi membantu menjayakan Program Unified Sports Special Olympics Sabah 2026 yang bakal berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Bingkor pada 31 Oktober ini.

Sumbangan itu disampaikan Pengerusi PKMB, Hj. Yazid Hj. Mohd. Hasnan Tawik @ Charles kepada Shirley Bonnie Huggim pada Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana program berkenaan di Bilik Pentadbiran SK Bingkor.

Yazid berkata, sumbangan itu diharap dapat membantu melancarkan persiapan penganjuran program yang membuka peluang kepada individu kelainan upaya menyertai aktiviti sukan dalam persekitaran inklusif.

Menurutnya, sokongan terhadap program seumpama itu penting dalam membina masyarakat yang lebih prihatin dan inklusif selain memberi ruang kepada peserta mengembangkan potensi diri menerusi sukan.

“Walaupun sumbangan ini tidak seberapa, kami berharap ia dapat membantu pihak penganjur melaksanakan program dengan lancar dan mencapai matlamatnya.

“PKMB komited menyokong usaha kebajikan dan kemasyarakatan termasuk inisiatif yang memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan perhatian serta sokongan masyarakat,” katanya.

Beliau turut berharap semua pihak termasuk agensi kerajaan, pihak sekolah, badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan dan masyarakat setempat, dapat memberikan kerjasama bagi memastikan program itu berjalan lancar.

Program Unified Sports Special Olympics Sabah 2026 bukan sahaja bertujuan menggalakkan penyertaan dalam aktiviti sukan malah diharap dapat memupuk persahabatan, semangat kerjasama, sikap saling menghormati dan kesamarataan dalam kalangan peserta.

Share This Article