KOTA KINABALU, 22 November – Polis mengeluarkan sebanyak 70 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas menerusi Operasi Bersepadu Motosikal yang dijalankan di sekitar bandar raya ini pada 20 dan 21 November lalu.
Operasi anjuran Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kota Kinabalu itu diketuai Ketua BSPT IPD Kota Kinabalu, DSP Khazrul Shah bin Annuar Ahmad, dengan kekuatan tiga pegawai dan 67 anggota.
Operasi berkenaan memberi tumpuan kepada lokasi yang dikenal pasti sering menerima aduan orang awam berhubung bunyi bising motosikal serta kegiatan lumba haram.
Pelaksanaan operasi itu bertujuan membanteras aktiviti samseng jalanan, meningkatkan pematuhan undang-undang lalu lintas serta memastikan ketenteraman awam terus terpelihara.
Polis turut mengingatkan penunggang motosikal supaya tidak melakukan pengubahsuaian kenderaan yang melanggar peraturan atau menjadikan jalan raya sebagai tempat berlumba.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan lumba haram diminta menyalurkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
