AKTIVITI HILIRAN PERLU DIPERKASAKAN-KM

sabahheadlines
3 Min Read

KOTA KINABALU,27 SEPT – Penerokaan dan pemerkasaan aktiviti hiliran perlu dijadikan suatu  budaya dan hala tuju dalam usaha menghasilkan produk hiliran yang mempunyai nilai  tambah yang tinggi. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata pendekatan ini adalah  strategi penting bagi memaksimumkan nilai rantaian sektor agromakanan,  meningkatkan pendapatan usahawan tani dan memperkukuh keterjaminan makanan. 

“Kita perlu berubah daripada sebuah negeri yang bergantung kepada eksport komoditi  pertanian mentah semata-mata kepada pengeluar dan pengeksport produk siap guna  bernilai tinggi yang diproses berasaskan komoditi pertanian tempatan.  

“Kita perlu beralih kepada penghasilan produk hiliran yang mempunyai nilai tambah  yang tinggi. Ini secara langsung akan meningkatkan kesejahteraan dan taraf hidup  komuniti petani, peladang, pekebun kecil dan nelayan kita melalui peningkatan nilai  ekonomi hasil-hasil pertanian mereka.  

“Pelancaran bantal lateks Lumi Borneo pada hari ini merupakan bukti nyata keupayaan  agensi tempatan seperti Lembaga Industri Getah Sabah atau LIGS dalam  mengoptimumkan sumber asli negeri,” katanya selepas merasmikan majlis Pelancaran  Bantal Lateks Lumi Borneo, di sini pada Sabtu. 

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri  Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar. 

Beliau berkata, pemerkasaan aktiviti-aktiviti hiliran ini juga akan menyumbang kepada  pengwujudan peluang-peluang pekerjaan kepada masyarakat terutamanya para belia  tempatan.  

“Sudah tentu aktiviti hiliran atau pemprosesan ini akan memerlukan tenaga kerja dalam  bidang pengeluaran, pembungkusan, logistik, pemasaran, kawalan kualiti dan aktiviti aktiviti lain yang berkaitan. Ini juga akan membuka ruang dan peluang kepada  usahawan-usahawan tempatan untuk turut terlibat,” katanya. 

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus menyokong semua sektor termasuk sektor  industri getah di Sabah agar dapat ditingkatkan sekali gus memberi pulangan kepada  para pekebun kecil getah. 

“Saya percaya dengan teraju kepimpinan dan kekuatan pengurusan, LIGS mempunyai  peluang yang luas untuk menerokai produk hiliran lain seperti tilam lateks dan kasut  getah. Jangan berhenti setakat bantal. Tingkatkan lagi usaha untuk mempelbagaikan  pengeluaran produk-produk berkualiti tinggi yang berasaskan getah,” katanya. 

Sementara itu, usaha menghasilkan bantal yang menggunakan lateks tempatan ini  adalah yang pertama di Sabah sekali gus menjadi satu sejarah penting kepada  perkembangan sektor industri getah di Sabah.  

“Sudah tentu komuniti pekebun kecil getah berasa bangga apabila melihat hasil lateks  atau susu getah yang mereka keluarkan sendiri diproses sehingga menjadi produk akhir  Bantal Lumi. 

“Lebih membanggakan lagi produk ini tidak dikeluarkan oleh mana-mana syarikat  swasta yang lain tetapi bersandarkan kepakaran dan kekuatan pasukan LIGS,”  katanya. 

Share This Article