PERANAN ORANG ASAL SABAH PENTING DALAM PEMBANGUNAN NEGERI – HAJIJI

sabahheadlines
4 Min Read

KOTA MARUDU, 16 OGOS – Peranan masyarakat Orang Asal dalam pembangunan Sabah perlu terus diperkasa bagi memastikan kemajuan negeri bergerak seiring dengan pemeliharaan identiti, budaya dan warisan masyarakat setempat.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata masyarakat Orang Asal mempunyai peranan penting dalam membentuk masa depan negeri dan perlu terus bersama-sama mengambil bahagian dalam usaha pembangunan Sabah.

Beliau berkata, pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri perlu mengambil kira kepentingan seluruh lapisan masyarakat selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya untuk membina sebuah negeri yang maju, aman dan sejahtera.

“Bagi Kerajaan Negeri, kemajuan yang kita usahakan haruslah mengambil kira kepentingan seluruh lapisan masyarakat,” katanya.

Ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun ketika merasmikan Karnival Momogun sempena Hari Orang Asal Sedunia 2026 di Dataran Kota Marudu, di sini pada sabtu.

Hajiji berkata, Perlembagaan Persekutuan turut mengiktiraf kedudukan Anak Negeri Sabah termasuk melalui Perkara 153 yang antara lain memperuntukkan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa Anak Negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain.

Menurut beliau, sambutan Hari Orang Asal Sedunia juga penting sebagai peringatan untuk terus memelihara identiti, bahasa, adat resam, kebudayaan dan sejarah Orang Asal Sabah sebagai sebahagian daripada khazanah negeri.

Katanya, kepelbagaian etnik dan komuniti Anak Negeri Sabah dengan bahasa, adat resam, kebudayaan serta sejarah masing-masing bukan faktor yang memisahkan masyarakat sebaliknya menjadi antara kekuatan terbesar dan keunikan negeri itu.

Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa menghormati kepelbagaian identiti, istilah dan tradisi yang digunakan oleh pelbagai etnik serta komuniti Anak Negeri Sabah.

Menurutnya, tema Karnival Momogun tahun ini “Memperkasa Kesejahteraan Orang Asal” amat bertepatan dengan usaha memastikan pembangunan negeri berjalan seiring dengan kesejahteraan rakyat.

“Kesejahteraan tidak seharusnya dilihat dari sudut pembangunan ekonomi semata-mata. Ia turut merangkumi keharmonian masyarakat, pemeliharaan identiti dan warisan, pendidikan, pembangunan modal insan serta keupayaan masyarakat untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tanpa kehilangan akar budaya dan jati diri mereka,” katanya.

Hajiji berkata, penganjuran Karnival Momogun turut memberi peluang kepada generasi muda untuk mengenali dengan lebih dekat bahasa, adat, seni, kebudayaan dan sejarah yang diwarisi masyarakat mereka.

Pada masa sama katanya program berkenaan membuka ruang kepada masyarakat umum untuk lebih mengenali dan menghargai kekayaan budaya yang terdapat di Sabah.

Beliau berkata, prinsip dalam Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP) turut memberi perhatian terhadap kepentingan identiti, bahasa, adat, tradisi dan warisan budaya masyarakat Orang Asal serta pewarisannya kepada generasi akan datang.

“Prinsip-prinsip ini mengingatkan kita bahawa pembangunan dan pemeliharaan warisan tidak semestinya bertentangan antara satu sama lain,” katanya.

Dalam pada itu Hajiji turut merakamkan tahniah kepada Momogun National Congress, Pejabat Daerah Kota Marudu, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah serta seluruh jawatankuasa penganjur atas kejayaan menganjurkan Karnival Momogun.

Beliau menegaskan bahawa Sabah merupakan rumah bersama yang dibentuk oleh kepelbagaian masyarakat, bahasa, kebudayaan dan adat resam yang telah hidup bersama sejak sekian lama.

“Kerajaan Negeri akan terus berusaha memastikan pembangunan negeri dilaksanakan dengan mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Share This Article