MAULIDUR RASUL: PERTUBUHAN AMAL UMMUL ZUYYIN DINOBATKAN SEBAGAI KONTINJEN TERBAIK

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU, 19 SEPT – Sebanyak 27 kontinjen daripada pelbagai agensi, pertubuhan dan komuniti setempat memeriahkan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Daerah Lahad Datu 1448H/2026M menerusi perarakan dan pertandingan sepanduk yang berlangsung hari ini.

Kreativiti serta semangat kebersamaan peserta turut menyerlah apabila menyaksikan Pertubuhan Amal Ummul Zuyyin, Lahad Datu dinobatkan sebagai Kontinjen Terbaik manakala Sekolah Kebangsaan Lahad Datu II dipilih sebagai Kontinjen Teramai.

Bagi kategori Kampung/Masjid/Surau dan Taman bagi kawasan DUN Silam Amal, Masjid Nurul Aman Jaya muncul juara diikuti Masjid Nurul Taqwa, Kampung Unta dan Masjid Nurul Qadri, Kampung Sharif .

Penyertaan melibatkan agensi kerajaan, pertubuhan, persatuan, masjid, kampung, sekolah serta komuniti setempat, sekali gus menyemarakkan sambutan berteraskan penghayatan sirah dan kecintaan terhadap Rasulullah SAW.

Bagi kategori Agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan/Unit Beruniform, tempat pertama dimenangi Majlis Daerah Lahad Datu diikuti Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Lahad Datu dan Pasukan Gerakan Am PGA BN17 Lahad Datu.

Kategori Ladang, Persatuan, Pertubuhan/NGO pula menyaksikan Pertubuhan Amal Azzahra Sabah muncul juara, diikuti KBSK dan Pertubuhan Amal Ummul Zuyyin.

Bagi kategori Kampung/Masjid/Surau, Taman dan KRT kawasan DUN Segama, Masjid Nurul Takmir, Kampung Unta muncul pemenang manakala Masjid Nurul Mubarak, Kampung Kenangan dan Masjid Nurul Taalim, Kampung Burung masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Sementara itu Masjid Hj. Khamis, Kampung Khamis muncul juara bagi kategori Kampung/Masjid/Surau, Taman dan KRT kawasan DUN Silam diikuti Masjid Nurul Rahmah, Kampung Babu Rahmah dan Masjid Ar-Raudah, Jalan Singamata.

Bagi kategori sekolah kerajaan dan swasta, SK Lahad Datu II muncul juara diikuti SK Pekan Lahad Datu dan SK St Stephen.

Masjid Nur Jamek, Kampung Jaya Baru, Jalan Tengah Nipah pula dinobatkan sebagai Kontinjen Paling Rare.

Pertandingan itu menjadi antara pengisian utama sambutan yang menghimpunkan lebih 1,000 peserta terdiri daripada kakitangan kerajaan, pemimpin masyarakat, ketua masyarakat serta peserta perarakan.

Sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah itu turut diserikan dengan ceramah agama oleh Timbalan Mufti Negeri Sabah, Sahibul Fadhilah Ustaz Abdul Razak Hamdin serta penyampaian Tokoh Maulidur Rasul 1448H/2026M kepada Al Fadhil Ustaz Hj. Sudirman Hj. Moh Saleng.

Share This Article