PENAMPANG, 3 November – Dua projek naik taraf Jalan Luar Bandar (JALB) di Kampung Buayan dan Kampung Terian di sini mencatat prestasi memberangsangkan apabila masing-masing mendahului jadual pelaksanaan sebanyak 45 dan 58 hari.
Perkembangan itu dimaklumkan Ahli Parlimen Penampang merangkap Timbalan Ketua Menteri Sabah III dan Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick selepas mengadakan tinjauan pelaksanaan kedua-dua projek berkenaan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Datuk Donald Peter Mojuntin.
Menurut Ewon, projek JALB Kampung Buayan yang melibatkan peruntukan RM73.868 juta kini mencapai kemajuan fizikal 76.64 peratus dan dijangka siap pada Ogos 2027 tanpa sebarang pelanjutan masa (EOT).
Sementara itu, projek JALB Kampung Terian yang diperuntukkan RM99.395 juta mencatat kemajuan 57.83 peratus dan mendahului jadual sebanyak 58 hari dengan sasaran siap pada Mei 2028.
Bagaimanapun, projek berkenaan menerima pelanjutan masa selama setahun berikutan isu pengambilan tanah serta lokasi pembinaan jambatan konkrit.
Kedua-dua projek yang bermula pada 2024 itu dibiayai Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta dipantau Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.
Ewon berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi pelaksanaan kedua-dua projek itu dan berharap kontraktor yang dilantik dapat memastikan kerja pembinaan disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.
Beliau berkata, perkembangan projek berkenaan turut dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Penampang bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar.
Dalam pada itu beliau berkata, perancangan pembangunan seterusnya di bawah Pelan Induk Pembangunan Penampang 2024-2035 akan memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan peruntukan bagi menyambung laluan JALB ke Kampung Longkogungan.
Usaha turut dilaksanakan bersama ADUN Moyog bagi membantu penduduk mendapatkan pemilikan tanah menerusi Program PANTAS.
Dalam lawatan sama, Ewon turut menyampaikan sumbangan atap spandik kepada 33 keluarga bagi menggantikan atap lama rumah mereka sebagai fasa pertama bantuan berkenaan.
Beliau turut bersetuju menyediakan peruntukan bagi membantu 44 keluarga lagi yang mengemukakan permohonan pada hari lawatan itu.
Selain itu, beliau turut menyatakan sokongan kepada peniaga wanita yang mengambil peluang berniaga sempena kunjungan berkenaan dengan membeli produk jualan mereka untuk dikongsi bersama pengunjung.
Ewon turut menghargai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak kontraktor yang melaksanakan kerja pemasangan pagar di kawasan gereja Kampung Buayan.
Beliau berharap pelaksanaan kedua-dua projek JALB serta projek pembangunan berskala kecil lain dapat meningkatkan kemudahan infrastruktur sekali gus memberi manfaat kepada penduduk dan pengunjung di kampung-kampung sekitar mukim berkenaan apabila siap sepenuhnya.
