KOTA KINABALU, 16 SEPT – Cubaan mengesan sebuah bot pancung di perairan barat daya Pulau Mengalum membawa kepada penemuan kira-kira 80 kilogram ikan yang dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan sebelum kesemua kru bot terbabit melarikan diri.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan mengesan bot berkenaan ketika melaksanakan rondaan berkala kira-kira jam 4.30 petang.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, bot peronda cuba menghampiri bot terbabit untuk menjalankan pemeriksaan namun kru bertindak memecut ke kawasan cetek berhampiran.
Katanya, kesemua kru kemudiannya terjun dari bot dan melarikan diri ke daratan.
“Hasil pemeriksaan menemukan beberapa peralatan menyelam serta muatan ikan yang dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan.
“Pemeriksaan lanjut terhadap hasil tangkapan mendapati keputusan ujian awal adalah positif, menunjukkan ikan berkenaan dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan,” katanya.
Menurut beliau, bot, peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan itu kemudian disita dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia, Sepanggar untuk siasatan lanjut.
Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai kira-kira RM45,000.
Kes disiasat mengikut Seksyen 26(1)(c) Akta Perikanan 1985 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(b) akta sama, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mohd Khairulanuar berkata, aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan terlarang seperti bahan letupan boleh memberi kesan buruk terhadap ekosistem marin, selain memusnahkan habitat dan sumber perikanan.
Beliau turut menasihatkan komuniti maritim supaya tidak melakukan aktiviti menangkap ikan yang melanggar undang-undang dan peraturan ditetapkan.
Orang awam yang mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di perairan negara diminta menyalurkan maklumat kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah di talian 088-387 774 atau melalui MERS 999 bagi kes kecemasan di laut.
