LAHAD DATU, 6 Okt – Sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu selepas didapati beroperasi terlalu hampir dengan daratan di perairan Kunak, semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali, berkata penahanan dibuat kira-kira jam 11.50 pagi di kedudukan 0.6 batu nautika timur Madai, Kunak menerusi Op Pluto Timur 2/2013 dan Op Tiris 3.0.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan seorang tekong warga tempatan berusia 38 tahun bersama tiga kru warga tempatan berumur antara 29 hingga 41 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati vesel berkenaan melanggar Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan pada jarak kurang daripada 1.5 batu nautika dari daratan terdekat, sekali gus menyalahi syarat lesen yang ditetapkan.
Dzulfikhar menegaskan bahawa Maritim Malaysia akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengusaha bot nelayan yang melanggar peraturan, terutama mereka yang beroperasi di kawasan larangan.
“Peraturan jarak ini penting bagi melindungi ekosistem marin serta memastikan sumber perikanan negara kekal mampan,” tegasnya.
Vesel, kru dan hasil tangkapan dibawa ke Jeti Maritim Lahad Datu untuk siasatan lanjut.
Maritim Malaysia dalam masa sama menyeru komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang laut serta menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan melalui WhatsApp 016-9305727 atau talian kecemasan 999 bagi maklum balas segera.
TAMAT
