LAHAD DATU, 13 SEPT – Pesta Tanglung dan Pasar Malam 2026 anjuran Persatuan Hakka Lahad Datu terus membuktikan peranan pentingnya sebagai wadah memelihara warisan tradisi Cina sekali gus memperkukuh silaturahim masyarakat berbilang kaum di daerah ini.
Program yang berlangsung di Bandar Fajar, Jalan Hakka malam tadi bukan sahaja menjadi platform memelihara serta memperkenalkan tradisi masyarakat Hakka malah turut memberi peluang kepada peniaga tempatan menjana pendapatan.
Pesta berkenaan dirasmikan Ketua Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN N.62 Silam, Datuk Mizma binti Appehdullah yang hadir mewakili Datuk Seri Dr. Anil Sandhu, Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri Sabah merangkap ADUN N.63 Kunak.
Datuk Mizma berkata sebuah masyarakat akan lebih harmoni dan saling bersatu sekiranya amalan saling menghormati serta memahami budaya masing-masing terus dipertahankan.
Menurutnya, Persatuan Hakka Lahad Datu wajar diberi pujian kerana berjaya menganjurkan pesta berkenaan secara tahunan dengan sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat setempat.
“Sebagai UPPM N.62 Silam, saya mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Hakka Lahad Datu atas jemputan dalam program yang dianjurkan. Kami akan sentiasa bekerjasama dengan semua wakil rakyat yang bergabung dengan Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Persatuan Hakka Lahad Datu, Ng Kong-Pen @ Peter dalam ucapannya berkata penganjuran pesta berkenaan bukan sekadar untuk memeriahkan suasana sebaliknya menjadi antara usaha mengekalkan warisan tradisional masyarakat Cina yang melambangkan perpaduan keluarga, kesyukuran, keharmonian dan keberkatan.
Katanya, Sabah yang kaya dengan kepelbagaian kaum dan budaya perlu terus menghargai serta memelihara warisan budaya setiap komuniti.
“Budaya perlu diwarisi dan dikembangkan mengikut peredaran zaman agar tidak tenggelam ditelan arus masa. Generasi muda juga perlu diberi peluang untuk mengenali dan memahami budaya serta tradisi masyarakat Cina dengan lebih dekat,” katanya.
Pesta Tanglung dan Pasar Malam 2026 berlangsung selama dua hari bermula 12 hingga 13 September dengan pelbagai pengisian menarik antaranya persembahan tarian tradisional, nyanyian, pertandingan serta jualan menerusi kira-kira 40 khemah peniaga.
Sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan daripada pelbagai institusi pendidikan di Lahad Datu antaranya Tadika Siew Ching, Tadika Yuk Choi, Tadika Chee Voon, SJKC Siew Chin, SJKC Yuk Choi, SJKC Sieng Wah dan Sekolah Menengah Cina (SMC) Lahad Datu.
