KOTA KINABALU, 13 SEPT – Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) menyifatkan penyelesaian tuntutan hak 40 peratus hasil bersih Sabah sebagai perkara yang perlu diberikan keutamaan dan diselesaikan segera demi memastikan hak negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan dapat direalisasikan.
Ketua Penerangan PGRS, Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan berkata, parti itu menyokong penuh pendirian tegas Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden PGRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam memperjuangkan tuntutan berkenaan.
Menurut beliau, pendirian Hajiji dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) baru-baru ini jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan hak Sabah bukan sekadar dibincangkan sebaliknya diterjemahkan kepada penyelesaian nyata yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Pendirian yang dibawa oleh Ketua Menteri jelas mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan hak-hak Sabah tidak sekadar dibincangkan tetapi diterjemahkan kepada penyelesaian yang nyata serta memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Nizam berkata, tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah bukan perkara baharu dan bukan juga permintaan berbentuk ihsan daripada mana-mana pihak sebaliknya merupakan hak yang diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu katanya, tuntutan berkenaan wajar diselesaikan secara bertanggungjawab, adil dan selaras dengan semangat pembentukan Malaysia pada 1963.
Dalam pada itu, PGRS mengalu-alukan keputusan Kerajaan Persekutuan meningkatkan bayaran interim kepada Sabah kepada RM1.5 bilion bermula tahun ini yang disifatkan sebagai perkembangan positif hasil rundingan berterusan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun, Nizam menegaskan bayaran interim berkenaan tidak bermakna tuntutan 40 peratus telah selesai sebaliknya perkara itu masih perlu dimuktamadkan.
“Bayaran interim ini tidak menutup tuntutan 40 peratus yang masih perlu dimuktamadkan sebagaimana yang terus ditegaskan oleh Ketua Menteri,” katanya.
PGRS turut menyambut baik persetujuan secara prinsip untuk meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat.
Menurut Nizam, suara Sabah perlu mempunyai kedudukan yang lebih kukuh dalam institusi Parlimen selaras dengan kedudukan serta semangat Sabah dan Sarawak ketika Malaysia dibentuk pada 1963.
Beliau berkata, usaha mempercepatkan Borneonisasi dalam perkhidmatan awam Persekutuan serta penyelesaian perkara-perkara lain yang masih tertangguh di bawah MA63 juga perlu diteruskan.
“Semua ini mempunyai kaitan langsung dengan kedudukan Sabah dalam Persekutuan dan kemampuan negeri untuk menentukan serta mengurus kepentingannya dengan lebih berkesan,” katanya.
Nizam berkata, PGRS melihat pendekatan Hajiji selama ini sebagai tegas dalam mempertahankan hak Sabah namun pada masa sama mengutamakan rundingan, kerjasama dan hubungan kerajaan dengan kerajaan bagi mencapai penyelesaian konkrit.
Katanya, pendekatan berkenaan telah menghasilkan kemajuan dalam beberapa tuntutan MA63 sebelum ini dan wajar diteruskan sehingga semua perkara yang masih tertangguh dapat diselesaikan sepenuhnya.
“Bagi PGRS, soal hak Sabah mengatasi kepentingan politik kepartian. Apa juga yang menjadi hak negeri dan rakyat Sabah mesti diperjuangkan secara konsisten,” katanya.
PGRS turut menghargai keterbukaan Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri untuk meneruskan rundingan berhubung perkara-perkara MA63 yang masih belum diselesaikan.
Pada masa sama, Nizam menegaskan PGRS akan terus berdiri teguh bersama Ketua Menteri dalam pendirian bahawa penyelesaian hak 40 peratus Sabah perlu diberikan keutamaan dan disegerakan.
“Sabah tidak meminta lebih daripada apa yang menjadi haknya. Kita hanya mahu apa yang telah dipersetujui dan diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan dilaksanakan dengan adil, konsisten dan penuh tanggungjawab,” katanya.
