KAAMATAN PERKUKUH PERPADUAN DAN KEHARMONIAN RAKYAT SABAH

sabahheadlines
2 Min Read

TUARAN, 9 MEI- Sambutan Pesta Kaamatan bukan sahaja menjadi platform meraikan warisan budaya malah memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor berkata, rakyat perlu mengambil iktibar daripada sambutan tersebut dengan terus memupuk nilai kebersamaan, saling menghormati dan bekerjasama sebagai satu keluarga besar.

Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Joniston Bangkuai pada sambutan Pesta Kaamatan peringkat daerah Tuaran di Dewan Sri Sulaman, hari ini.

Menurut Hajiji, tema sambutan tahun ini “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”, menggambarkan kepentingan perpaduan dalam kalangan masyarakat Sabah yang berbilang kaum dan etnik.

Beliau berkata, nilai yang diketengahkan melalui tema itu amat penting dalam memastikan perpaduan dan kestabilan politik terus dipelihara demi membawa kemajuan serta pembangunan kepada negeri Sabah.

Katanya, sambutan Pesta Kaamatan juga amat signifikan dengan usaha kerajaan negeri dalam memartabatkan kekayaan warisan kebudayaan dan kesenian rakyat tempatan.

“Kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada sambutan dan perayaan kebudayaan serta keagamaan kerana kita percaya program seperti ini dapat memantapkan lagi perpaduan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

“Sebab itu.. Pesta Kaamatan bukan sahaja perayaan penting bagi masyarakat Kadazandusun, Murut dan Rungus malah turut diraikan oleh seluruh rakyat Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap rakyat tanpa mengira bangsa dan agama terus mengeratkan perpaduan, saling menghormati serta tidak mudah terpengaruh dengan anasir yang boleh menggugat keharmonian yang dinikmati selama ini.

Share This Article