PENUBUHAN PENAJA GRS KINABATANGAN PERKUKUH ORGANISASI, SATUKAN GERAK KERJA

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 11 SEPT – Penubuhan Penaja Gagasan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Kinabatangan dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh struktur organisasi parti selain menyatukan gerak kerja di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam bahagian berkenaan.

Mesyuarat Penubuhan Penaja GRS Bahagian Kinabatangan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat,di sebuah hotel di sini, baru-baru ini dipimpin Ketua Bahagian GRS Kinabatangan, Datuk Masiung Banah.

Dalam ucapannya, Datuk Masiung merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang hadir serta memberikan komitmen bagi menjayakan penubuhan Penaja GRS Bahagian Kinabatangan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Ketua Bahagian GRS Kinabatangan, Datuk Juhari Janan dan Naib Ketua Bahagian, Datuk Abu Bakar Gapar, atas kehadiran serta sokongan yang diberikan.

Sementara itu, Dato’ Juhari turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Masiung atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Bahagian GRS Kinabatangan.

Mesyuarat turut menyaksikan pembentukan Ahli Jawatankuasa Bahagian serta kepimpinan sayap parti membabitkan Wanita, Pemuda dan Beliawanis GRS Bahagian Kinabatangan.

Barisan kepimpinan berkenaan turut melibatkan wakil daripada tiga kawasan DUN iaitu Sukau, Lamag dan Kuamut sekali gus mencerminkan usaha memperluas penyelarasan gerak kerja parti di seluruh kawasan Kinabatangan.

Penubuhan penaja itu dijangka dapat memperkemas pengurusan organisasi dan penyelarasan aktiviti di peringkat bahagian selain memperkukuh kerjasama antara kepimpinan serta ahli di ketiga-tiga DUN.

Masiung turut berharap barisan kepimpinan yang diberikan amanah dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh komitmen, integriti dan kesungguhan di samping mengutamakan perpaduan serta kepentingan rakyat.

Menurutnya, pengukuhan struktur organisasi di peringkat bahagian penting bagi memastikan GRS terus mendekati masyarakat dan memberi perhatian terhadap isu serta keperluan rakyat di peringkat akar umbi.

Penubuhan Penaja GRS Bahagian Kinabatangan itu sekali gus menjadi landasan baharu untuk memperkukuh organisasi dan menyusun gerak kerja parti secara lebih tersusun demi kepentingan rakyat serta pembangunan kawasan berkenaan.

Share This Article