KOTA KINABALU,2 OGOS-Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengajak rakyat Sabah untuk terus memperkukuh perpaduan, menjunjung semangat saling menghormati dan menyokong setiap usaha yang membawa kepada kemajuan negara.
Katanya, perpaduan bukan sekadar slogan, tetapi asas kepada kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Apabila rakyat bersatu hati, negara menjadi kuat. Apabila ekonomi berkembang, rakyat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera. Dan apabila keamanan terus dipelihara, Malaysia akan kekal menjadi tanah air yang dihormati dan dicontohi,” katanya pada program Wacana Pemikir Peringkat Negeri Sabah di Dewan Sa’adah, Wisma Muis pada Sabtu (1 Ogos).
Ucapan Ketua Menteri disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Hj Mohd Ariffin Datuk Hj Mohd Arif.
“Dunia hari ini sedang menyaksikan gelombang geopolitik yang semakin menggoncang kestabilan sejagat. Di banyak negara, peperangan, krisis ekonomi, inflasi, konflik politik dan bencana kemanusiaan telah merampas ketenangan hidup rakyat.
“Ada yang kehilangan pekerjaan, ada yang kehilangan tempat tinggal, malah ada yang kehilangan harapan. Apabila keamanan runtuh, ekonomi turut lumpuh. Apabila ekonomi lumpuh, masa depan rakyat menjadi kabur.
“Namun di sebalik badai yang melanda dunia, kita wajib mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan kepada Malaysia, khususnya Sabah. Kita masih menikmati keamanan, perpaduan dan kehidupan yang harmoni dalam kepelbagaian kaum dan agama.
“Anak-anak masih dapat menuntut ilmu, rumah-rumah ibadah terus dimakmurkan, masyarakat masih hidup saling menghormati, dan ekonomi terus bergerak membina harapan,” katanya.
Hajiji berkata ketenangan ini bukan datang dengan sendiri tetapi atas usaha berterusan daripada kerajaan negeri dan Persekutuan yang sentiasa berikhtiar memelihara kestabilan, memperkukuh ekonomi, menjaga kebajikan rakyat serta mempertahankan keharmonian masyarakat.
“Perkara yang berlaku di peringkat global mungkin memberi kesan kepada kita, namun yang lebih penting ialah bagaimana kita mengekalkan keharmonian, perpaduan dan kestabilan dalam negara.
“Masyarakat perlu mempunyai pemikiran yang terbuka dalam menilai sesuatu isu global, namun pada masa sama perlu memiliki pendirian sendiri dan tidak mudah terpengaruh dengan naratif yang boleh menjejaskan keharmonian negara.
“Oleh itu, kita perlu terus bersatu padu, saling hormat menghormati, bekerjasama serta mendukung agenda pembangunan di bawah kerangka Malaysia Madani dan menerusi agenda Sabah Maju Jaya,” katanya.
Ketua Menteri berharap semangat saling menghormati ini terus menjadi asas kepada perpaduan negara.
Mengenai program Wacana Pemikir anjuran Pertubuhan Islam Seluruh Sabah, beliau berkata ia merupakan platform penting bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap isu-isu semasa yang berlaku di peringkat antarabangsa.
Beliau turut menyifatkan gabungan penceramah yang terdiri daripada latar belakang berbeza sebagai satu kekuatan program kerana mampu memberikan perspektif yang lebih menyeluruh termasuk isu geopolitik dan cabaran semasa.
“Kerajaan negeri sentiasa menyokong program seperti ini dan berharap ia akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
