SANDAKAN, 24 MEI– Peranan pengamal media yang sentiasa komited menjalankan tugas tanpa mengira masa demi menyampaikan laporan berita yang tepat dan pantas kepada masyarakat amat dihargai.
Bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha, pengamal media di daerah ini turut menerima sumbangan beras menerusi satu majlis ringkas yang diadakan di The Agathis Residence, Taman Rimba, di sini, pada Sabtu.
Sumbangan itu disampaikan oleh Puan Sante Villiamon Setiausaha kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila yang juga Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Hazem Mubarak Tun Musa.
Menurut beliau, sumbangan berkenaan adalah sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan pengamal media yang sentiasa memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Pengerusi Persatuan Media Sandakan, Sabah (PEMASSA), R Fauzi Abdul Lahap yang mewakili pengerusinya, James Leong Tshun Kian.
Selain pengamal media,sumbangan beras itu turut diagihkan kepada masyarakat setempat dan golongan yang memerlukan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila.
Inisiatif berkenaan diharap dapat meringankan beban penerima khususnya menjelang sambutan Aidiladha selain mengeratkan hubungan antara pemimpin masyarakat dan pengamal media di daerah ini.
