KOTA KINABALU,28 Oktober – Peruntukan nasional bagi projek Jalan Luar Bandar (JALB) meningkat kepada RM2.27 bilion pada 2027 berbanding RM2.11 bilion tahun ini, sekali gus menunjukkan peningkatan pembiayaan bagi pembangunan infrastruktur luar bandar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata rekod peruntukan itu turut menunjukkan perubahan berbanding tempoh sebelum pentadbiran Kerajaan MADANI.
Menurutnya, peruntukan JALB sebelum ini tidak pernah mencecah RM1 bilion manakala peruntukan RM1.09 bilion hanya mula disediakan pada 2023.
“Ini menunjukkan komitmen pentadbiran pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam memenuhi keperluan Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat khas penyelarasan jawatankuasa bencana daerah Kota Kinabalu di sini, pada Rabu.
Hadir sama Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah.
Mustapha berkata, peningkatan peruntukan itu perlu dilihat bersama usaha kerajaan memastikan komitmen kewangan terhadap projek sedia ada dapat dipenuhi secara teratur.
Katanya, antara langkah yang diambil ialah kelulusan peruntukan tambahan RM500 juta oleh Kementerian Kewangan pada 2026 bagi membantu menangani tunggakan bayaran kepada kontraktor JALB.
Beliau menjelaskan penangguhan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) baharu pada 10 September 2026 pula merupakan langkah kawalan kewangan untuk mengelakkan tunggakan terus meningkat.
Menurutnya, langkah itu bukan bermaksud projek yang telah diluluskan dibatalkan sebaliknya bertujuan memastikan komitmen kontrak dan keperluan pembiayaan diurus dengan lebih baik.
Dalam pada itu kerajaan meminta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyediakan unjuran keperluan pembiayaan sehingga 2027 berdasarkan kontrak yang telah dianugerahkan.
Mustapha berkata, perancangan itu penting bagi memastikan pembangunan jalan luar bandar dapat diteruskan mengikut keperluan serta kemampuan kewangan kerajaan.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan Sabah dan Sarawak kekal sebagai keutamaan Kerajaan MADANI termasuk usaha memperbaiki jaringan jalan raya, meningkatkan keterhubungan penduduk luar bandar dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.
