SEMPORNA,22 OGOS- Sebuah restoran di Hotel Pacific Semporna, musnah dalam satu kejadian kebakaran pada tengahari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.47 tengah hari itu, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna tiba di lokasi pada jam 12.52 tengah hari kira-kira lima minit selepas menerima panggilan.
Komander Operasi, PBK I Asmaraie Noordanig berkata, kebakaran membabitkan struktur restoran jenis separuh kekal berukuran kira-kira 30 x 40 kaki.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman dari dua arah iaitu melalui darat menggunakan tiga aliran dengan enam pancutan sepanjang 300 kaki menggunakan sumber air daripada jentera bomba dan pili bomba.
“Pada masa sama, pasukan Bomba Air Semporna menjalankan pemadaman dari arah laut menggunakan satu aliran dan satu pancutan dengan sumber air terbuka,” katanya.
Beliau berkata, kebakaran turut menyebabkan bangunan sebelah hotel berkenaan terkena bahangan kira-kira 20 peratus.
Menurutnya, seorang lelaki yang juga pekerja hotel dilaporkan mengalami kecederaan melecur pada bahagian tangan atau lengan.
“Mangsa dibawa pihak hotel ke Hospital Semporna untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum ketibaan jentera bomba,” katanya.
Operasi dilaporkan terkawal pada jam 1.47 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.11 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi.
Operasi membabitkan keseluruhan 29 anggota, terdiri daripada 19 anggota BBP Semporna dan 10 anggota Bomba Air Semporna.
Turut berada di lokasi ialah 10 anggota Polis.
Logistik yang digunakan BBP Semporna ialah dua jentera FRT dengan 12 anggota, EMRS dengan tiga anggota dan sebuah kenderaan VIGO dengan empat anggota manakala Bomba Air Semporna menggunakan sebuah bot penyelamat dengan kekuatan 10 anggota.
